9 negara paling berbahaya, kuasa senjata nuklear global

Senjata nuklear merupakan antara alat ketenteraan paling berkuasa dan kontroversi di dunia moden. Gambar hiasan
Senjata nuklear merupakan antara alat ketenteraan paling berkuasa dan kontroversi di dunia moden. Gambar hiasan
A
A
A

SENJATA nuklear merupakan antara alat ketenteraan paling berkuasa dan kontroversi di dunia moden.

Ia bukan sahaja berfungsi sebagai senjata pemusnah besar-besaran, tetapi juga sebagai simbol kekuatan strategik dan kuasa geopolitik.

Sehingga kini, terdapat sembilan buah negara dan entiti yang diketahui secara rasmi atau dipercayai memiliki program senjata nuklear ketenteraan.

Dasar nuklear setiap negara adalah berbeza, ada yang menjamin 'tiada penggunaan pertama' (No First Use) dan ada pula yang tidak menolak kemungkinan penggunaan awal apabila konflik tercetus.

Berikut ialah sembilan negara yang diketahui menjalankan program nuklear ketenteraan.

1. Amerika Syarikat (AS) - 5,244 kepala peledak nuklear

AS merupakan negara pertama di dunia yang membangunkan dan menggunakan senjata nuklear setelah ia menjalankan ujian bom atom pertama pada 1945 (ujian Trinity).

Ia kekal sebagai kuasa nuklear paling maju dan Washington mengekalkan sistem 'triad nuklear' iaitu keupayaan melancarkan senjata nuklear dari darat menggunakan misil balistik antara benua (ICBM), laut (dari kapal selam) dan udara (pengebom strategik seperti B-52 dan B-2).

Dasar nuklearnya tidak menolak kemungkinan penggunaan pertama (first use) dan sangat bergantung pada strategi pencegahan melibatkan kerjasama Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

Artikel Berkaitan:

2. Rusia - 5,459 kepala peledak nuklear

Ia mewarisi simpanan senjata nuklear Kesatuan Soviet yang sangat besar.

Moscow mengekalkan triad nuklear lengkap dan sedang memodenkan gudang senjata mereka dengan sistem generasi baharu seperti peluru berpandu hipersonik dan ICBM Sarmat (Satan II).

Doktrin ketenteraan Rusia membenarkan penggunaan senjata nuklear jika wujud ancaman keselamatan walaupun dalam tindak balas terhadap serangan konvensional.

Senjata nuklear menjadi teras utama kekuatan ketenteraan dan pengaruh geopolitik negara bekas Kesatuan Soviet itu.

3. China - Lebih 600 kepala peledak nuklear

Beijing menyertai kelab nuklear pada 1964 dan selama beberapa dekad mengekalkan gudang senjata kecil dengan dasar rasmi 'tiada penggunaan pertama'.

Beberapa tahun kebelakangan ini, ia mempercepatkan pembangunan senjata itu.

China sedang membina ratusan silo peluru berpandu baharu dan membangunkan keupayaan pelancaran dari laut serta udara, melengkapkan sistem peluru berpandu darat seperti DF-41.

Meskipun masih mengisytiharkan dasar No First Use, peningkatan pesat dan kerahsiaan strategik China membimbangkan banyak negara lain.

4. Perancis - 290 kepala peledak nuklear

Ia menjadi negara bersenjata nuklear pada 1960 dan mengekalkan koleksi senjata bebas sepenuhnya, dikenali sebagai force de frappe.

Tidak seperti kuasa besar lain, negara Eropah Barat itu tidak memiliki peluru berpandu nuklear berasaskan darat.

Dasar nuklear Perancis berasaskan pencegahan strategik dan bukan untuk kegunaan taktikal di medan perang.

5. Britain - 225 kepala peledak nuklear

Ujian pertama senjata nuklear dilakukan pada 1952 dan Britain bergantung sepenuhnya kepada peluru berpandu balistik yang dilancarkan dari kapal selam kelas Vanguard menggunakan sistem Trident II yang dibekalkan oleh AS.

Ia merancang menggantikan kapal selam tersebut dengan kelas Dreadnought menjelang 2030. London mengekalkan dasar 'pencegahan minimum yang boleh dipercayai' dan merupakan sekutu rapat AS di bawah perancangan strategik NATO.

6. India - 180 kepala peledak nuklear

India menjadi negara kuasa nuklear pada 1974 dengan ujian pertamanya di bawah kod nama Smiling Buddha.

Walaupun program asalnya bertujuan untuk keamanan, konflik bersama China dan Pakistan membawa kepada pengembangan ketenteraan.

Dasar rasmi India adalah 'tiada penggunaan pertama' meskipun segelintir pemimpin mereka pernah mencadangkan semakan semula.

India mempunyai keupayaan triad nuklear yang sedang berkembang termasuk siri peluru berpandu balistik Agni, senjata dilancarkan dari udara serta pelancaran misil dari kapal selam kelas INS Arihant.

Doktrin pertahanan mereka menekankan konsep pencegahan minimum yang boleh dipercayai berbanding penempatan semula senjata secara besar-besaran.

7. Pakistan - 170 kepala peledak nuklear

Ia membangunkan senjata nuklear sebagai tindak balas terhadap India dan menjalankan ujian nuklear pertamanya pada 1998.

Pakistan terbuka mengekalkan hak untuk menggunakan senjata nuklear terutamanya jika berlaku konflik dengan India.

Ia mempunyai pelbagai sistem pelancar termasuk peluru berpandu jarak jauh Shaheen dan peluru berpandu taktikal jarak dekat seperti Nasr.

Program nuklearnya dikawal ketat oleh struktur komando pusat bagi mencegah penggunaan secara tidak sah.

8. Korea Utara - Kira-kira 50 kepala peledak nuklear

Pyongyang memulakan program nuklearnya secara rahsia pada 1980-an dan melaksanakan ujian pertama pada 2006.

Sejak itu, ia telah menjalankan beberapa ujian dan mendakwa memiliki kepala peledak nuklear yang boleh dipasang pada peluru berpandu jarak jauh.

Korea Utara merupakan satu-satunya negara yang melakukan ujian nuklear pada abad ke-21.

Pyongyang melihat senjata nuklear sebagai jaminan utama untuk kelangsungan rejim dan sebagai pencegahan terhadap ancaman Washington dan Seoul.

Ia juga secara terang-terangan mempamerkan pelbagai sistem peluru berpandu yang berpotensi menyerang tanah besar AS.

9. Israel - 90-400 kepala peledak nuklear

Rejim Tel Aviv tidak pernah secara rasmi mengakui memiliki senjata nuklear dan mengekalkan dasar 'ambiguiti strategik'.

Terdapat banyak bukti termasuk imej satelit dan pendedahan oleh bekas juruteknik nuklear, Mordechai Vanunu pada 1980-an menunjukkan Israel pada masa itu mempunyai antara 80 hingga 200 kepala peledak nuklear.

Ia dipercayai mempunyai keupayaan triad strategik iaitu peluru berpandu Jericho (darat), bom nuklear udara melalui jet pejuang dan peluru berpandu dari kapal selam kelas Dolphin.

Sehingga kini, tiada ujian nuklear secara terbuka dilakukan, namun terdapat petunjuk risikan yang kukuh tentang program senjata tersebut yang dikhuatiri mengancam kestabilan Asia Barat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!