Tangguh peluasan SST ke Januari 2026, cadang kadar 4 peratus - ACCCIM

SHAH ALAM – Kerajaan digesa mempertimbangkan penangguhan peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) ke Januari tahun depan bagi memberi tempoh persediaan yang lebih panjang kepada sektor industri.
Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) berkata, gesaan itu dibuat memandangkan masih terdapat beberapa aspek yang memerlukan penjelasan lanjut berhubung pelaksanaan tersebut.
“Persediaan mencukupi adalah penting bagi memastikan pematuhan yang lebih baik dan pelaksanaan yang lancar.
“Kami bimbang kerana peningkatan kos yang berlapis-lapis sedang berlaku dalam persekitaran ekonomi global dan domestik yang mencabar.
“Ia diburukkan lagi oleh ketidaktentuan dasar tarif perdagangan dan konflik berterusan di Timur Tengah, yang secara keseluruhannya mencetuskan tekanan ekonomi yang ketara,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Terdahulu, Kementerian Kewangan dalam kenyataan memaklumkan bahawa kerajaan akan melaksanakan semakan semula kadar Cukai Jualan serta peluasan skop Cukai Perkhidmatan secara bersasar bermula 1 Julai ini, selaras dengan pengumuman Belanjawan 2025 pada Oktober tahun lalu.
Menurut kenyataan ACCCIM, kesan kenaikan kos yang telah dirasai sepanjang tahun ini dijangka berterusan atau memberi kesan kepada landskap ekonomi dan perniagaan sehingga tahun 2026.
Sehubungan itu, ACCCIM turut mencadangkan agar kadar Cukai Perkhidmatan bagi perkhidmatan tambahan serta tiga perkhidmatan baharu ditetapkan pada kadar empat peratus bagi dua tahun pertama, iaitu dari 2026 hingga 2027, bagi mengurangkan beban cukai terhadap perniagaan dan pengguna.
“Selain itu, kami mencadangkan ambang pendaftaran perkhidmatan bercukai dinaikkan kepada RM3 juta bagi kategori perkhidmatan sewaan/pajakan dan pembinaan, serta ambang pengecualian daripada pembayaran cukai bagi penyewa Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dinaikkan kepada RM2 juta hasil jualan tahunan.
“Kami juga mencadangkan agar tempoh pengecualian yang lebih panjang diberikan iaitu selama 36 bulan bagi kontrak yang boleh disemak dan tidak boleh disemak, merangkumi semua jenis projek memandangkan kepelbagaian bentuk dan kitaran projek,” menurut kenyataan itu lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

