Pengecualian SST limau mandarin, kurma bukti kerajaan peka bantu rakyat

KEPUTUSAN kerajaan mengecualikan cukai jualan (SST) ke atas buah limau mandarin dan kurma bermula 1 Julai ini dilihat sebagai langkah strategik dan prihatin dalam meringankan beban kos sara hidup rakyat.
Perkara tersebut telah dipersetujui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim susulan sesi libat urus Kementerian Kewangan (MoF) bersama beberapa ahli Parlimen kerajaan pada Khamis.
Kedua-dua buah import itu, yang lazimnya dikaitkan dengan musim perayaan utama iaitu Tahun Baharu Cina dan Ramadan yang mana sebelum ini dikenakan SST sebanyak lima peratus selepas peluasan skop cukai tersebut.
Namun selepas rundingan dan penilaian semula, kerajaan memutuskan untuk mengecualikannya daripada SST, sekali gus memberi kelegaan kepada pengguna yang sebelum ini bimbang akan kenaikan harga barangan berkenaan di pasaran.
Tindakan ini menyusuli pengecualian SST terhadap buah epal dan oren, sekali gus memperlihatkan pendekatan bertahap dan responsif kerajaan terhadap keperluan sebenar rakyat.
Menurut MoF, pengecualian tersebut bertujuan memastikan pelaksanaan SST berlaku secara adil dan seimbang, di samping tidak membebankan pengguna akhir dan tidak menjejaskan perniagaan kecil.
Dalam konteks yang lebih luas, ia turut memberi isyarat bahawa kerajaan berpegang pada prinsip Malaysia Madani yang mengutamakan keadilan sosial, kesejahteraan rakyat dan hormat kepada nilai budaya.
Langkah tersebut turut dilihat mampu menyumbang kepada kestabilan harga semasa, terutama menjelang musim perayaan apabila permintaan terhadap barangan import seperti kurma dan limau mandarin meningkat secara mendadak.
Bagaimanapun, kejayaan pelaksanaan pengecualian ini bergantung kepada pemantauan rapi oleh pihak berkuasa termasuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), bagi mengelakkan sebarang manipulasi harga di peringkat pengedar.
Kerajaan sebelum ini menjangkakan kutipan tambahan sebanyak RM10 bilion setahun hasil peluasan skop SST.
Justeru, pengecualian bersasar seperti ini menunjukkan kesediaan kerajaan menyalurkan semula manfaat secara terancang.
Ia juga memperlihatkan bahawa sistem percukaian negara tidak bersifat statik, sebaliknya boleh disesuaikan dengan realiti semasa tanpa menjejaskan matlamat fiskal negara.
Secara keseluruhan, pengecualian SST terhadap limau mandarin dan kurma bukan sahaja membantu rakyat malah menyampaikan mesej jelas bahawa kerajaan mendahulukan suara rakyat dalam setiap pelaksanaan dasar.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
