Rumah 200 tahun jadi warisan cinta, seni ukiran Melayu

Rosnawati berada di hadapan rumahnya berusia lebih 200 tahun.
Rosnawati berada di hadapan rumahnya berusia lebih 200 tahun.
A
A
A

KOTA BHARU – Rumah tradisional Melayu berusia lebih 200 tahun di Kampung Kandis, Bachok kini menjadi kenangan paling berharga buat Rosnawati Othman, 65, bersama arwah suaminya, Allahyarham Nik Rashiddin Nik Hussein.

Rumah kayu yang dibeli pada harga RM15,000 daripada seorang pemilik di Kampung Ladang, Kuala Terengganu lebih 27 tahun lalu itu dibina menggunakan kayu cengal dan mempunyai tiga ruang utama.

Menurut Rosnawati, meskipun proses membawa pulang rumah berkenaan ke Kelantan agak sukar, namun usaha gigih bersama arwah suami akhirnya membuahkan hasil.

Rosnawati sentiasa memastikan perkakas dalam rumah dijaga rapi.
Rosnawati sentiasa memastikan perkakas dalam rumah dijaga rapi.

“Rumah ini dipindahkan dengan ‘air mata’ kerana proses membawanya dari Terengganu ke Kelantan bukanlah mudah dan memerlukan 20 tukang mahir untuk mencabut setiap pasaknya yang mengambil masa seminggu.

“Jumlah kos keseluruhan termasuk upah mencabut, memasang dan pembaikan semula hampir mencecah RM300,000. Alhamdulillah, selepas dua tahun proses itu berjaya disiapkan dengan rumah ini dalam keadaan baik,” katanya ketika ditemui di rumah tersebut.

Bekas pensyarah seni bina di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai itu berkata, arwah suaminya amat meminati seni ukiran dan banyak menimba ilmu termasuk di luar negara seperti Indonesia dan Thailand.

“Kami membeli rumah ini kerana mahu mengimbau kembali nostalgia tinggal di rumah kayu seperti zaman dahulu,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Namun, Rosnawati tidak menyangka rumah berkenaan menjadi tarikan generasi muda yang teruja untuk melihat dan merasai sendiri pengalaman tinggal dalam rumah tradisional Melayu.

Jelasnya, ramai pihak menyatakan minat untuk memiliki rumah tersebut namun beliau tidak bersedia menjualnya. Rumah itu hanya dibuka bagi tujuan kajian dan lawatan sahaja.

Berkongsi mengenai pemilik asal rumah berkenaan, beliau percaya individu tersebut kemungkinan seorang pedagang kaya memandangkan setiap ukiran yang terdapat pada rumah itu berasal dari Jawa dan menggunakan material kayu jati.

“Pada ketika itu, kayu jati tidak didapati di negara ini dan proses ukiran juga memerlukan pengukir mahir dengan upah yang tinggi,” ujarnya.

Tambahnya, bagi memastikan rumah itu kekal kukuh dan tidak mudah rosak, kerja-kerja penyelenggaraan dilakukan secara berkala bergantung kepada tahap kerosakan.

Ukiran dari Jawa dipercayai pemilik asal rumah merupakan seorang pedagang kaya.
Ukiran dari Jawa dipercayai pemilik asal rumah merupakan seorang pedagang kaya.

“Biasanya, anai-anai merupakan ancaman utama terhadap struktur kayu seperti ini, selain air hujan yang boleh meresap masuk ke rongga kayu.

“Saya akan pastikan rawatan dilakukan untuk elak kayu dimakan anai-anai dan membaiki sebarang kerosakan akibat air,” katanya.

Rosnawati turut memaklumkan bahawa arwah suaminya yang juga pengukir tersohor Kelantan amat berusaha mempertahankan warisan seni budaya Melayu, termasuk pemeliharaan rumah berkenaan.

“Arwah bukan sahaja mahir dalam seni ukiran keris, malah turut menghasilkan ukiran pada bangunan bersejarah. Beliau juga adalah individu yang membina pagar Istana Balai Besar, Kota Bharu pada tahun 1985,” katanya.

Tambahnya lagi, selepas suaminya meninggal dunia akibat penyakit kanser pada tahun 2002 ketika berusia 47 tahun, beliau bersama anak-anak meneruskan usaha menjaga dan memelihara rumah itu.

“Saya bersyukur kerana rumah ini masih teguh dan menjadi medium untuk saya berkongsi dengan generasi baharu mengenai keunikan ukiran serta hasil kerja tangan masyarakat Melayu lebih dua abad lalu,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!