Jual aiskrim di puncak Bukit Penarikan, sumber rezeki keluarga pendaki

Anak Zashahrina (kiri) menjual aiskrim dan air tin di puncak Bukit Penarikan di Jempol.
Anak Zashahrina (kiri) menjual aiskrim dan air tin di puncak Bukit Penarikan di Jempol.
A
A
A

JEMPOL – Minat terhadap aktiviti mendaki bertukar menjadi sumber rezeki buat sebuah keluarga apabila jualan aiskrim Malaysia dan minuman tin kepada para pendaki di puncak Bukit Penarikan di sini sejak dua tahun lalu mendapat sambutan menggalakkan.

Menurut Zashahrina Zul, 43, idea tersebut timbul apabila perniagaan kedai makan mereka terjejas selepas pandemik Covid-19.

Zashahrina bersama suami menunjukkan kotak kosong selepas jualan mereka habis terjual.
Zashahrina bersama suami menunjukkan kotak kosong selepas jualan mereka habis terjual.

Wanita itu mencadangkan kepada suaminya yang juga merupakan jurupandu pendakian untuk mencuba berniaga di lokasi tersebut.

“Pada mulanya sekadar cuba-cuba, tetapi kami tidak sangka mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada pendaki yang datang melihat matahari terbit dan fenomena ‘awan karpet’.

“Selain menjual aiskrim dan minuman, ada kalanya kami juga menjual nasi lemak jika ada kelapangan,” kongsinya kepada Sinar Harian.

Zashahrina (kanan) bersama anak-anak berniaga aiskrim dan air di Bukit Penarikan.
Zashahrina (kanan) bersama anak-anak berniaga aiskrim dan air di Bukit Penarikan.

Artikel Berkaitan:

Ibu kepada lima anak itu berkata, selain di puncak, mereka turut menjual aiskrim di kawasan hentian pertama atau ‘checkpoint’ laluan pendakian yang dikenali sebagai Simpang Y.

Kongsinya, sebanyak 200 batang aiskrim Malaysia bersama minuman tin dan ais disusun dalam empat beg, yang setiap satunya dianggarkan seberat 20 hingga 25 kilogram.

“Aiskrim dijual pada harga RM2 di Simpang Y, manakala RM3 sebatang di puncak. Kami angkut dalam beg dan sesampainya di atas, baru kami susun dalam kotak air.

“Biasanya kami mula mendaki sekitar jam 8 pagi menggunakan laluan khas, manakala anak-anak yang berniaga di puncak akan keluar lebih awal kerana ramai pendaki menunggu untuk melihat pemandangan matahari terbit,” katanya.

Anak serta suami Zashahrina dalam perjalanan menjual air di Bukit Penarikan.
Anak serta suami Zashahrina dalam perjalanan menjual air di Bukit Penarikan.

Tambahnya, aktiviti berniaga hanya dijalankan pada hari Sabtu, Ahad dan cuti umum bersama suami serta tiga anak mereka yang lain.

Menurut Zashahrina, mereka turut menitikberatkan aspek penjagaan alam sekitar dengan memastikan tiada sampah ditinggalkan di kawasan pendakian.

“Selepas kami mula berniaga dan mendapat sambutan, ada juga beberapa peniaga lain turut serta. Kami tak kisah kerana rezeki masing-masing.

“Setakat ini kami berniaga tanpa sebarang masalah kerana kawasan ini merupakan kawasan persendirian. Apa yang penting ialah menjaga kebersihan bersama,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!