MBD Jempol gesa tindakan tegas isu vape, teruskan kempen GAG

MBD Jempol menggesa kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap penggunaan tembakau dan vape dalam kalangan belia yang semakin membimbangkan. Gambar kecil: Faizal Foto hiasan
MBD Jempol menggesa kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap penggunaan tembakau dan vape dalam kalangan belia yang semakin membimbangkan. Gambar kecil: Faizal Foto hiasan
A
A
A

JEMPOL – Majlis Belia Daerah (MBD) Jempol menggesa kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap penggunaan tembakau dan rokok elektronik atau vape dalam kalangan belia yang semakin membimbangkan.

Pengerusinya, Faizal Otthman berkata, isu tersebut dibangkitkan menerusi sesi Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) Peringkat Daerah Jempol 2025 yang berlangsung di Pejabat Daerah dan Tanah Jempol, baru-baru ini.

Menurutnya, dua usul utama telah dikemukakan dan menerima sokongan sebulat suara daripada semua ahli majlis untuk dibawa ke peringkat negeri.

“Antara usul yang diketengahkan ialah menghidupkan semula Kempen Sifar Tembakau (GEG) yang sebelum ini diperkenalkan bagi melindungi generasi akan datang daripada ketagihan nikotin.

"Menghentikan kempen tersebut dianggap sebagai satu langkah ke belakang. Belia harus dibebaskan daripada belenggu tembakau dan vape sebelum ketagihan bermula," katanya menerusi kenyataan.

Beliau berkata, MBD Jempol turut menyatakan sokongan penuh terhadap pengharaman penjualan dan penggunaan vape di Negeri Sembilan.

“Vape bukan alternatif yang selamat. Ia kini menjadi pintu masuk baharu kepada ketagihan nikotin. Negeri Sembilan tidak boleh berlengah lagi," tambah beliau.

Dalam pada itu, beliau berkata MPBN merupakan platform penting untuk suara belia disampaikan secara terus kepada pihak berwajib, terutama dalam isu kesihatan awam.

Ujar beliau, MBD Jempol komited untuk terus memperjuangkan dasar dan inisiatif yang menjurus kepada kesejahteraan serta masa depan generasi muda yang lebih sihat dan bebas ketagihan.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!