Catatan tentang memori periwayatan

MEMOIR Rimbunan Cinta Bonda (Penerbit UPSI, 2024) dibangunkan penulisnya, Kamariah Kamarudin dengan dua belahan utama. Ia bermula dengan tiga jenis ‘bingkisan’ yang lazimnya dibaca sebagai ‘kata pengantar’ atau ‘pengenalan’ dalam penulisan sesebuah buku.
‘Bingkisan Hati’ merupakan beberapa guntingan kata-kata pendek tentang buku ini daripada teman-teman rapat penulis. ‘Bingkisan Jiwa’, sebuah tulisan oleh mantan pelajar tokoh yang ditumpukan dalam buku ini. Sementara ‘Bingkisan Cinta’ adalah tulisan Kamariah Kamarudin sendiri tentang memoirnya.
Catatan ‘bingkisan’ diikuti ‘prolog’ yang memulakan kisah perjalanan penulis memindahkan ibunya dari Kemaman ke Bangi. Ia dirakam dalam 17 bab ‘Nota Safar’. Selepas ‘Epilog’, 25 bab ‘Nota Ziarah’ merupakan catatan harian penulis mengunjungi pusara ibunya.
Memoir sebagai genre naratif bukan-cereka, maka buku ini dipersembahkan Kamariah Kamarudin dengan sifatnya yang sebegitu. Huraian Judith Barrington dalam Writing the Memoir: From Truth to Art (2002), mendukung apa yang harus ada dalam sebuah memoir.
Tanggapannya bahawa memoir adalah guntingan daripada sekeping kehidupan yang panjang. Ketimbang autobiografi, memoir menyaring latar yang bermakna terkait dengan diri penulisnya sahaja.
Maka dalam memoir ini Kamariah Kamarudin merakam penggalan kisah pemergian ibunya, Sa’adiah Embong, sepadan dengan judul ‘Cinta Bonda’. Memoir ini sememangnya merupakan sumbangsih dalam mengenang rimbunan kasih sayang dan cinta anak terhadap ibunya.
Tumpuan adalah dalam keterikatan ini. Penulis menafsirkan ‘rimbunan’ dalam ‘Bingkisan Cinta’ sebagai perlambangan kepada sifat ibunya yang penyayang dan penyabar.
‘Rimbunan’ di hujung memoir ini juga menutup dengan teduhan. Walaupun hanya guntingan, selesai membaca memoir ini, kita mengenali banyak sisi lain dan cerita yang beraneka.
Latar ‘Nota Safar’ khasnya berlangsung sewaktu musim wabah tahun 2020 di Malaysia. Ia sebahagian besar dapat menjadi fail arkib tentang pelataran Covid-19 di Malaysia. Ia adalah suatu simpanan dan sejarah yang berharga menerusi tulisan periwayatan seperti ini.
Selaku seorang novelis dan cerpenis juga, memoir ini ditangani Kamariah Kamarudin dengan gaya naratif dan puitis. Sebelum ini saya ada menulis tentang gaya bahasa Kamariah Kamarudin yang sering melagukan hampir setiap ayatnya dengan membunyikan secara tekal asonansi atau aliterasi. Barangkali ia mahu dipegang sebagai satu idiosinkrasi kepengarangan dalam memoir ini, begitu juga dalam kebanyakan tulisannya yang lain.
Pengisahan ini adalah doa yang dibisikkan dalam bentuk tulisan. Setiap kata lahir daripada rindu yang tidak pernah selesai. Kamariah Kamarudin tidak sekadar menulis tentang ibunya, tetapi menulis tentang dirinya yang sedang kehilangan, sedang belajar menerima, sedang membentuk diri semula daripada puing-puing kasih yang pernah membesarkan jiwanya.
Sebahagian besar memoir ini adalah tentang diri Kamariah Kamarudin. Sejak di ruang awal buku ini disisip gambar-gambar dengan teman-teman akrabnya. Diikuti dalam setiap pembukaan bab dipajang gambar-gambar ibunya.
Reflektif bayang ibu
Sebuah memoir juga seperti tanggapan Sven Birkerts, The Art of Time in Memoir: Then, again (2008), ia ditulis dari kisah benar. Latar ‘Nota Ziarah’ dinukil penulis mewakili bab 25 hari berada di sisi kuburan ibunya.
Mendatangi pusara menjadi metafora untuk kunjungan batin juga. Banyak dilakukan Kamariah Kamarudin sepanjang penziarahan ini dengan kembali kepada kenangan, menyusun semula detik-detik yang membahagiakan dan barangkali juga ada yang menyakitkan.
Memoir ini seperti cermin juga; ia sangat reflektif untuk melihat bayang ibu, tetapi juga melihat diri sendiri: sebagai anak, sebagai manusia yang rapuh, dan sebagai pewaris kasih yang tidak pernah padam-padam.
Memoir yang ditulis ketika menziarahi pusara seorang ibu merupakan helaian yang amat peribadi dan menggenapi relung emosi. Dalam konteks memoir ini, penulis menggunakan pengalaman ziarah sebagai titik mula kepada sebuah perjalanan kenangan yang menyeluruh.
Ia bukan hanya mengenang ibu sebagai insan mulia, tetapi juga mengenang kembali proses pertumbuhan diri, kasih sayang keluarga dan nilai hidup yang diwariskan.
Membaca ‘Nota Ziarah’, penulis berbahagi rutinitas, hampir setiap apa yang dijalani penuh emosi. Dari tanggungjawab sebagai ibu kepada tugas pensyarah, penyelidik yang berdepan dengan ragam sistem.
Struktur memoir yang berasaskan imbas kembali ini memperlihatkan bagaimana ingatan terhadap seseorang yang telah tiada bukan bersifat linear, tetapi terjalin secara berlapis: dari peristiwa kecil sehari-hari, hingga latar besar.
Kamariah Kamarudin memanfaatkan kaedah retrospektif untuk menggali semula makna hubungan ibu-anak dengan ketulusan dan kedalaman emosi.
Sisipan gambar sebagai wadah visual mempertebal pengalaman pembaca. Ia bukan sahaja dibentangkan sebagai dalil dokumentasi, tetapi tampil sebagai pemangkin emosi.
Gambar menghidupkan semula peristiwa lampau, dan mengajak pembaca menyertai ziarah batin penulis. Gabungan teks dan visual menghasilkan suatu bentuk naratif yang hampir sinematik, bergerak antara masa lalu dengan apa yang ada di hadapan mata. Persis bilang Rumi, kehidupan ini adalah ketimbang antara upaya mempertahan dengan melepaskan.
Satu aspek penting ialah unsur introspeksi yang melatari memoir ini. Ia tidak terhenti hanya sebagai sekeping nostalgia, tetapi keberanian penulis menyelongkar aneka perasaan lepas untuk ditatap pembaca.
Memoir ini bukan sekadar peringatan terhadap susuk seorang ibu, ia sebenarnya menyeberang kepada sebuah perenungan tentang diri, iaitu tentang bagaimana perpisahan menjadi guru yang paling jujur dalam mendidik jiwa.
Memoir Rimbunan Cinta Bonda dapat dinilai sebagai sebuah naskhah peribadi yang sebahagiannya melampaui sifat sentimental dan menjadi wacana tentang kehilangan, penghargaan terhadap memori, dan pembinaan makna baru dalam hidup setelah pemergian insan yang dicintai.
Profesor Madya Dr Mawar Safei ialah Penyelaras (Kluster Warisan Melayu), Pusat Pengajian Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu (BITARA Melayu), Universiti Kebangsaan Malaysia
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
