Cinta berputik di PLKN akhirnya ke jenjang pelamin

SHAH ALAM - Siapa sangka usikan rakan-rakan dan perkenalan ketika menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) pada tahun 2017 menjadi titik mula cinta pasangan muda yang kini sah bergelar suami isteri.
Siti Suhaida Abu Bakar, 26, berkata, dia dan pasangannya, Muhammad Arshad Muhammad Salman, 26, mula berkenalan ketika mengikuti PLKN di Kem Paya Indah, Dengkil.
Menurutnya, pengalaman menyertai program itu banyak meninggalkan kenangan manis termasuk saat pertama kali bertemu suami yang ketika itu menjadi perhatian kerana kedua-duanya berketurunan mamak.
"Pada bulan pertama agak mencabar sebab kena bangun awal jam 4 pagi untuk bersiap dan sertai aktiviti.
“Kami berkenalan bermula di sana disebabkan kawan-kawan sekeliling, memandangkan hanya kami berdua berketurunan mamak. Jadi, rakan dan jurulatih suka mengusik kami,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Terdahulu, foto mereka berdua ketika menjadi pelatih PLKN dan majlis perkahwinan bertemakan Bollywood yang dikongsikan Siti Suhaida menerusi akaun imsitisuhaida mendapat 281,300 tontonan dengan 14,000 tanda suka.
Ujarnya, selepas keluar dari kem, Muhammad Arshad terus memperkenalkannya kepada ibu dan neneknya, manakala dia hanya memperkenalkan suaminya itu kepada ayah selepas enam tahun menjalin hubungan.
“Kami bertunang pada 11 Mei 2024 dan bernikah pada 1 Mei lalu. Majlis sanding diadakan keesokan harinya di Dewan KT Orkid, Rawang.
“Selepas itu, majlis bertandang pihak lelaki bertemakan Bollywood pula diadakan pada 11 Mei lalu di MPAJ Pandan Indah, Ampang,” kongsinya.
Menurutnya, biarpun terdapat sedikit perbezaan dari segi budaya dan makanan disebabkan suaminya berketurunan Pakistan campur mamak, keluarga kedua-dua belah menerima pasangan masing-masing dengan baik.
“Cuma bezanya, mereka selalu kena ada capati bila makan malam,” ujarnya berseloroh.
Tambahnya, dia meminati suaminya kerana mempunyai kulit hitam manis, tegas dan berprinsip seperti bapanya, selain amat mengambil berat terhadap dirinya.
Mengulas mengenai videonya yang tular di TikTok, Siti Suhaida berkata, dia terkejut tetapi bersyukur kerana rata-rata komen yang diterima adalah positif.
“Saya tidak sangka boleh viral. Tetapi saya gembira sebab ramai mendoakan dan beri komen positif. Komen negatif itu biasalah,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


