AI disalah guna sebar ideologi militan

SHAH ALAM - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan cawangan khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu bekerjasama memantau aktiviti penyebaran ideologi militan warga asing melalui media sosial atau platform digital negara ini.
Pakar kriminologi bebas, Datuk Shahul Hamid Abd Rahim berkata, ini kerana gerakan kumpulan tersebut dijangka menjadi lebih berbahaya dengan kewujudan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang boleh disalahgunakan untuk menyebarkan pengaruh dan merekrut ahli baharu.
“Sebab itu isu mengenai penggunaan dan cabaran menangani AI telah pun ditekankan oleh Ketua Polis Negara baru-baru ini.
“Ilmu mengenai teknologi AI sepatutnya diterapkan kepada semua anggota penguat kuasa terutama pihak polis bagi mengesan pergerakan militan di negara ini,” katanya kepada Sinar Ahad.
Sebelum ini, Pakar Kajian Strategik dan Antikeganasan dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Profesor Dr Mohd Mizan Mohammad Aslam berkata, ancaman militan di negara ini telah memasuki spektrum baharu apabila trend terkini menunjukkan peningkatan penglibatan warga asing dalam gerakan ekstremis yang berpaksikan fahaman radikal dan ideologi keganasan.
Ulas Mohd Mizan, berdasarkan analisis dari tahun 2022 hingga 2025, trend tangkapan berkaitan militan menunjukkan peningkatan ketara khususnya dari Indonesia dan Filipina.
Mengulas lanjut Shahul Hamid berkata, kumpulan militan sebelum ini juga pernah menggunakan media sosial untuk menarik minat masyarakat dalam gerakan mereka.
“Dah banyak kes kita lihat, contohnya penggunaan Facebook dan platform lain untuk rekrut individu termasuk warganegara Malaysia menyertai kumpulan militan.
“Mereka bawa rakyat kita ke luar negara seperti Syria, Libya dan Yemen untuk latihan. Itu pernah berlaku,” ujarnya.
Menurut beliau, polis melalui cawangan khas memainkan peranan penting dalam mengesan gerakan warga asing atau tempatan yang terlibat dengan aktiviti ekstremis.
Katanya, cawangan khas juga boleh memanfaatkan kelebihan rangkaian antara negara seperti Singapura dan Indonesia bagi menjejaki pergerakan kumpulan tersebut.
“Saya mencadangkan agar pihak polis lebih serius dalam menangani masalah ini. Isu gerakan ekstremis ini jika dibiarkan untuk tempoh yang lama, kita bimbang bukan sahaja warga asing tetapi rakyat Malaysia juga akan terlibat sama.
“Ia kerana (dalam aktiviti militan di negara ini) mesti ada bantuan tertentu yang melibatkan warganegara kita juga,” menurutnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

