Ancaman militan asing semakin serius

Ancaman militan di Malaysia kini telah memasuki spektrum baharu apabila trend terkini menunjukkan peningkatan penglibatan warga asing dalam gerakan ekstremis yang berpaksikan fahaman radikal dan ideologi keganasan. Gambar hiasan internet. (Gambar kecil: Mohd Mizan)
Ancaman militan di Malaysia kini telah memasuki spektrum baharu apabila trend terkini menunjukkan peningkatan penglibatan warga asing dalam gerakan ekstremis yang berpaksikan fahaman radikal dan ideologi keganasan. Gambar hiasan internet. (Gambar kecil: Mohd Mizan)
A
A
A

SHAH ALAM - Ancaman militan di Malaysia kini telah memasuki spektrum baharu apabila trend terkini menunjukkan peningkatan penglibatan warga asing dalam gerakan ekstremis yang berpaksikan fahaman radikal dan ideologi keganasan.

Pakar Kajian Strategik dan Antikeganasan dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, Profesor Dr Mohd Mizan Mohammad Aslam berkata, berdasarkan analisis dari tahun 2022 hingga 2025, trend tangkapan berkaitan militan menunjukkan peningkatan ketara khususnya dari Indonesia dan Filipina.

Namun, katanya, sejak 2022 hingga 2024 juga, kita dapat lihat peningkatan idealisme ekstremis dalam kalangan warga Myanmar, Rohingya dan Bangladesh.

“Diaspora mereka berkembang dengan menyebarkan ideologi yang bersifat radikal.

“Memang sudah berlaku perubahan trend, daripada ancaman tempatan kepada ancaman warga asing yang ada dalam negara kita. Unsur-unsur ini datang dari luar dan bukannya dari dalam negara,” katanya.

Menurut Mohd Mizan, sehingga kini belum ada satu data yang spesifik mengenai jumlah kumpulan ekstrem terlibat kerana elemen terbabit datang dari pelbagai negara atau kawasan konflik.

“Kita pernah ada tangkapan melibatkan individu dari Uyghur, Sri Lanka, Mesir, Tunisia, Sudan, Yemen dan banyak negara lain. Maknanya, kumpulan ini boleh berkembang dan membawa ideologi luar masuk ke dalam negara, sekali gus memberikan ancaman.

“Kebanyakan mereka ini dihantar pulang ke negara masing-masing, ada yang dipenjarakan dan dijatuhkan hukuman di Malaysia. Namun, kita cuba untuk menghantar mereka pulang bagi dibicarakan di negara asal,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Jelas beliau, dalam beberapa kes tertentu, suspek tidak dihantar pulang kerana terdapat ancaman terhadap nyawa mereka jika kembali ke negara asal.

“Itu sebabnya kita cuba membawa mereka ke muka pengadilan dalam kapasiti undang-undang Malaysia,” tambahnya.

Mengulas lanjut, Mohd Mizan menegaskan bahawa dalam konteks militan Bangladesh, penglibatan mereka berkait rapat dengan jaringan Rohingya dan Myanmar kerana datang daripada latar diaspora yang sama.

“Mereka berkembang sesama mereka dan memberikan ancaman kepada Malaysia. Fahaman yang dibawa pula membawa dua bentuk ancaman.

“Pertama ialah gerakan penentangan terhadap kerajaan sedia ada seperti Bangladesh, China (melibatkan isu Uyghur), dan Sri Lanka (melibatkan LTTE). Gerakan itu berkembang di Malaysia kerana wujudnya diaspora mereka yang besar dan berjaya dari segi ekonomi.

“Ancaman kedua lebih membimbangkan iaitu penyebaran ideologi ISIS atau Daesh ke dalam negara. Ideologi ini berkembang dan merekrut golongan baharu untuk terlibat dalam usaha menubuhkan Daulah Islamiyah mengikut fahaman mereka,” jelasnya.

Justeru, beliau menyeru kerajaan Malaysia supaya berwaspada terhadap ancaman militan yang bukan sahaja datang dari dalam, malah dibawa masuk dari luar melalui elemen-elemen baharu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!