Prosedur pentadbiran buka ruang rasuah perlu dipinda, dihapus - Ikram

Ikram gesa kerajaan semak semula prosedur pentadbiran yang cenderung kepada rasuah. Gambar kecil: Mohd Hafiz
Ikram gesa kerajaan semak semula prosedur pentadbiran yang cenderung kepada rasuah. Gambar kecil: Mohd Hafiz
A
A
A

SHAH ALAM – Prosedur pentadbiran tertentu dalam sektor kerajaan yang membuka ruang kepada aktiviti rasuah perlu disemak semula, dipinda atau dihapuskan serta-merta.

Setiausaha Agung Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram), Mohd Hafiz Abd Hamid berkata, langkah itu penting bagi memastikan kegiatan rasuah atau penyelewengan tidak dinormalisasikan dalam persekitaran kerja, sekali gus menerapkan budaya integriti dalam sektor awam negara.

“Apa yang penting adalah pembudayaan itu sendiri, namun untuk mengangkat budaya berkenaan, ia perlu dimulakan dengan penguatkuasaan oleh kerajaan.

“Jika budaya tersebut dapat diterapkan terutama dalam kalangan penjawat awam, secara automatik kegiatan rasuah boleh dikurangkan termasuk dalam aspek pengurusan,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Sebelum ini, seorang pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) sebuah negeri yang dipercayai terlibat dalam kes rasuah membabitkan kontrak bernilai ratusan ribu ringgit akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya berkata, pengarah terbabit dan beberapa pegawainya disyaki menerima wang rasuah daripada kontraktor berhubung projek penyelenggaraan.

Ujar Mohd Hafiz, pendidikan integriti perlu diperkukuh dan disebarluaskan di semua peringkat termasuk di sekolah dan institusi pengajian tinggi.

Menurutnya, golongan ulama dan ustaz juga boleh memainkan peranan penting dalam memberi kesedaran berkaitan isu rasuah di negara ini.

“Kita tahu isu rasuah melibatkan orang awam dan ia juga bertentangan dengan nilai dalam Islam. Jadi, para ulama sepatutnya bersuara dan memberikan teguran berhubung isu berkenaan,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Mohd Hafiz turut menyatakan harapan agar kesedaran mengenai rasuah dapat diterapkan dalam diri masyarakat sejak kecil.

“Setiap isi rumah perlu ada kesedaran bahawa rasuah adalah antara kegiatan yang perlu dielakkan.

“Jika ancaman rasuah tidak dibanteras sejak dari kecil, lama-kelamaan apabila dewasa, individu tersebut akan lebih mudah terlibat dalam rasuah dan dibimbangi ia menjadi satu kebiasaan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!