'Halau abah keluar surau, dia cuma baca al-Quran sambil tunggu waktu dhuha' - PU Azhar Hilmi

Tangkap layar hantaran Azhar yang mendakwa lelaki dihalau dari surau AJK Musolla Halaman 11, Bandar Rimbayu merupakan bapanya.
Tangkap layar hantaran Azhar yang mendakwa lelaki dihalau dari surau AJK Musolla Halaman 11, Bandar Rimbayu merupakan bapanya.
A
A
A

KUALA LANGAT - [DIKEMAS KINI] Pendakwah dan personaliti televisyen terkenal, PU Azhar Hilmi meluahkan rasa terkilan dan kesal apabila seorang wanita menghalau keluar bapanya dari sebuah surau di Bandar Rimbayu, Telok Panglima Garang, di sini baru-baru ini menerusi satu video tular.

PU Azhar Hilmi mempertikaikan tindakan wanita terbabit kerana mendakwa bapanya hanya duduk sebentar di dalam surau berkenaan untuk menanti waktu solat Dhuha.

"Tular satu video seorang pak cik sedang duduk beriktikaf dalam surau, itu abah saya. Seawal pagi, abah ke surau untuk solat Subuh, selepas solat abah akan duduk sekejap baca al-Quran sambil tunggu waktu Dhuha.

"Dah selesai solat Dhuha, baru dia akan gerak balik tetapi pagi itu, datang seorang wanita dipercayai dari pengurusan dan terus halau abah keluar dari surau, lebih menyakitkan dia rakam video secara terbuka seolah-olah abah buat salah besar.

"Tiada adab, ihsan dan rasa hormat. Rasa geram dan sakit hati apabila tengok video tersebut. Saya tulis ini bukan mahu viralkan sesiapa tetapi mahu tahu sejak bila surau jadi tempat eksklusif yang orang tua pun boleh kena halau?" soalnya.

Tangkap layar kenyataan AJK Musolla Halaman 11, Bandar Rimbayu.
Tangkap layar kenyataan AJK Musolla Halaman 11, Bandar Rimbayu.

Sebelum ini, tular satu video berdurasi 38 saat memaparkan tindakan seorang wanita menghalau seorang lelaki yang sedang duduk di surau berkenaan selepas solat Subuh.

Dalam rakaman itu, wanita berkenaan mendakwa lelaki terbabit tidak dibenarkan untuk solat di surau itu kerana dia bukan penduduk di kawasan terbabit selain pernah berlaku kes kecurian.

Artikel Berkaitan:

Wanita itu juga mendakwa bahawa surau berkenaan adalah harta bersama penduduk yang membayar kos utiliti serta penyelenggaraan surau terbabit selain memintanya keluar supaya pagar surau dapat dikunci pihaknya.

Mengulas lanjut, PU Azhar Hilmi berkata, tindakan itu tidak boleh diterima susulan bapanya tidak mengganggu jemaah atau tidur di surau berkenaan.

"Abah saya bukan tidur dalam surau dan tidak buat bising atau ganggu sesiapa. Kalau begini layanan kita terhadap orang tua yang datang ke rumah ALLAH SWT, apa yang tinggal pada kita sebagai masyarakat?

"Kita jaga surau tetapi jangan sampai kita jaga bangunan dan lupa adab. Kita boleh halau orang dari surau tetapi kita tidak boleh halau doa dan keluhan mereka dari langit," ujarnya.

Sementara itu, pentadbir dan Ahli Jawatankuasa (AJK) Musolla Halaman 11, Bandar Rimbayu berkata, tindakan wanita menghalau lelaki berkenaan bukan atas persetujuan surau terbabit.

"AJK Musolla amat mengharapkan kehadiran sesiapa sahaja bagi mengimarahkan Musolla dan tindakan menghalau berkenaan amat kami kesali dan bantah sekeras-kerasnya.

"AJK telah pun berjumpa dengan badan pengurusan bersama (JMB) bagi menyelesaikan keadaan. Pendirian kami jelas, Musolla boleh digunakan oleh sesiapa sahaja untuk beribadat atau berehat sebentar dan tindakan untuk mengunci Musolla sama sekali tidak akan berlaku.

"Selain itu, bil api dan air adalah atas tanggungan Musolla sendiri hasil dari infaq orang awam. Status Musolla sebagai harta bersama penduduk adalah benar tetapi untuk tujuan ibadat, AJK tetap buka kepada semua," katanya dalam kenyataan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!