RM500,000 peruntukan bagi baik pulih rumah Tok batin di Pahang

KUANTAN – Kerajaan Pahang meluluskan peruntukan sebanyak RM500,000 bagi membaik pulih rumah ketua masyarakat Orang Asli atau tok batin yang uzur di seluruh negeri ini.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, keputusan itu dibuat selepas menerima aduan berhubung keadaan rumah tok batin yang memerlukan perhatian segera.
"Tadi (hari ini) saya meluluskan peruntukan sebanyak RM500,000 untuk membaik pulih rumah tok batin dan lain-lain (keperluan).
"Saya serahkan tanggungjawab ini kepada Pahang Orang Asli Corporation (ORACO) kerana saya mendapat rungutan ada dalam kalangan mereka yang rumahnya agak uzur.
"Kita ada kedudukan kewangan kita luluskan satu pada hari ini," katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Karnival Apa Khabar Orang Kita dan Penyampaian Kecemerlangan Pendidikan Murid Orang Asli 2025 di Dewan Utama, Kompleks Yayasan Pahang, di sini pada Jumaat.
Karnival ini merupakan usaha kolaborasi dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Jabatan Pendidikan Negeri Pahang (JPNP), dan Majlis Belia Pahang (MBP).
Penajaan diberikan oleh ORACO, Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), dan Perbadanan PembangunanSumber Manusia (HRD CORP).
Menyentuh mengenai program tersebut, Wan Rosdy berkata ia dianjurkan bersama Jabatan Pendidikan Negeri dan agensi lain bagi meraikan kecemerlangan pelajar Orang Asli yang memperoleh keputusan baik dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru-baru ini.
“Kita adakan majlis ini untuk meraikan anak-anak Orang Asli yang mendapat keputusan cemerlang dalam SPM, ada yang dapat 8A, 7A dan 6A.
“Selain itu, kita juga ambil peluang berjumpa dengan batin-batin untuk mendengar sendiri apa sahaja masalah yang mereka mahu bangkitkan, supaya tiada masyarakat yang tertinggal atau terpinggir dalam pembangunan negeri,” katanya.
Dalam pada itu, Wan Rosdy turut memaklumkan Kerajaan Pahang telah menambah peruntukan sebanyak RM11.557 juta bagi program kesihatan warga emas susulan sambutan baik dalam kalangan masyarakat.
“Bila ada pertambahan duit, sudah tentu ada tambahan jumlah penerima bantuan.
"Ramai warga emas berminat kerana dengan kad ini mereka boleh mendapatkan rawatan segera di klinik-klinik yang telah ditentukan tanpa perlu ke hospital kerajaan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

