Perak perkasakan TVET kulinari

Saarani (tengah) bersama dengan chef yang terlibat dalam pertandingan MCWC 2025 yang berlangsung di Ipoh.
Saarani (tengah) bersama dengan chef yang terlibat dalam pertandingan MCWC 2025 yang berlangsung di Ipoh.
A
A
A

IPOH - Sektor Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dalam kulinari antara bidang yang perlu difokuskan bagi memperkukuhkan industri makanan negara.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, bidang masakan bukan lagi dilihat sahaja sebagai satu kemahiran teknikal, tetapi satu bentuk seni dan inovasi yang mempunyai nilai ekonomi tinggi.

"Peranan TVET dalam industri kulinari kini semakin penting. Saya dah beritahu kepada semua kolej komuniti dan institut yang ada bidang TVET ini, selain bidang-bidang teknikal beri juga tumpuan kepada bidang kulinari.

"Bidang kulinari ini bukan setakat masakan dan persembahan tetapi ia berkaitan dengan keupayaan, kreativiti atau inovasi mereka.

“Selalu saya sebut jangan pandang rendah kepada bidang kulinari kerana terbukti chef ini mempunyai pendapatan yang lumayan serta kedudukan yang dihormati,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Malaysian Culinary World Cup (MCWC) 2025 di Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru Raya di sini pada Jumaat.

Saarani (tengah) melihat hidangan yang disediakan pada MCWC 2025.
Saarani (tengah) melihat hidangan yang disediakan pada MCWC 2025.

Saarani berkata, penganjuran pertandingan melibatkan 800 peserta termasuk luar negara itu adalah langkah tepat dalam menyokong aspirasi Perak sebagai Koridor TVET Negara seperti mana pelan Perak Sejahtera 2030.

"Perak tampil dengan kekuatan tersendiri tidak hanya menjadi lokasi tetapi turut menyediakan ekosistem latihan kemahiran yang tersusun melalui rangkaian hab TVET yang luas dan berdaya saing.

Artikel Berkaitan:

"Penganjuran WCWC ini, bukan sahaja menjadi platform persaingan bertaraf antarabangsa malah menjadi pemacu penting kepada peluang ekonomi dan sosial di negeri ini," katanya.

Pada masa sama, Saarani berkata, kerajaan negeri akan terus agresif mempromosikan acara bagi menarik pelancong sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.

Tambahnya, Perak muncul sebagai negeri paling popular setelah mencatatkan seramai 10.2 juta pelancong domestik sepanjang tahun lalu, mengatasi Selangor dan Pahang.

"Tahun ini pun kita buat juga (promosi) mengajak pelancong datang ke Perak. Kita harap angka yang diperolehi tahun lepas itu dapat dikekalkan ataupun mungkin dapat dipertingkatkan.

“Kita ada lagi enam bulan, Exco Loh Sze Yee dan Tourism Perak sekarang sedang berusaha keras,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!