MBPJ laksana pengecas EV, perkasa mobiliti hijau di Petaling Jaya

Pertukaran dokumen persefahaman di antara MBPJ-EV Connection Sdn. Bhd. ketika Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di MBPJ
Pertukaran dokumen persefahaman di antara MBPJ-EV Connection Sdn. Bhd. ketika Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di MBPJ
A
A
A

PETALING JAYA - Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) meneruskan langkah proaktif ke arah pembangunan bandar raya hijau dan mampan dengan memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama dua syarikat penyedia perkhidmatan pengecas kenderaan elektrik (EV).

Majlis menandatangani MoU bersama EV Connection Sdn Bhd dan Carput Zap Network Sdn Bhd berlangsung di Bilik Gerakan, Ibu Pejabat MBPJ, bagi melaksanakan pemasangan serta penyediaan kemudahan pengecas EV (EV Charging Bay - EVCB) di lokasi strategik sekitar Petaling Jaya.

Kerjasama ini sebahagian daripada pelaksanaan inisiatif MBPJ Green Mobility Partnership yang dirangka untuk memperluas ekosistem mobiliti hijau serta menyokong aspirasi negara dan dasar kerajaan ke arah peralihan kepada mobiliti rendah karbon.

Inisiatif itu juga menyumbang kepada sasaran ‘pelepasan karbon sifar bersih’ (net-zero emissions) menjelang 2050 seperti yang digariskan dalam Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

MBPJ dalam kenyataannya berkata, pelantikan kedua-dua syarikat itu membolehkan pelaksanaan pengurusan dan kendalian EVCB dilaksanakan secara berperingkat, dengan sasaran 100 lokasi pengecas menjelang 2030.

“Lokasi berpotensi meliputi kawasan awam termasuk bangunan kerajaan, kompleks sukan, tempat letak kereta awam dan lokasi strategik lain di seluruh Petaling Jaya,” kata kenyataan itu pada Jumaat.

EV Connection Sdn Bhd, pengendali utama platform JomCharge, dan Carput Zap Network Sdn Bhd, pelopor penyelesaian tenaga hijau dan pengecas pantas, akan menyumbang kepakaran serta infrastruktur masing-masing melalui pendekatan kerjasama awam-swasta (Public-Private Partnership - PPP).

Kedua-dua rakan strategik itu juga komited menyokong usaha kerajaan tempatan dalam merealisasikan matlamat bandar rendah karbon.

Menurut MBPJ, usaha ini selaras dengan aspirasi menjadikan Petaling Jaya sebagai sebuah bandar paling bahagia, lestari dan mampan, dengan memberi keutamaan kepada kemudahan hijau dalam sektor pengangkutan dan mobiliti rendah karbon.

Artikel Berkaitan:

“Inisiatif ini bukan sahaja mencerminkan kemajuan teknologi, malah menjadi pemangkin kepada transformasi menyeluruh Petaling Jaya ke arah sebuah bandar hijau yang pintar, rendah karbon dan mampan,” menurut kenyataan itu.

MBPJ juga percaya peralihan sistem pengangkutan ini akan mendorong lebih banyak inisiatif dan modul pengangkutan teknologi hijau dalam kehidupan seharian masyarakat.

Langkah ini turut menjadi inspirasi dalam perancangan fizikal dan pembangunan bandar, ke arah sebuah bandar raya hijau pintar dari sudut alam sekitar, ekonomi dan sosial.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!