Limau mandarin, kurma perlu dikecualikan SST - Ahli Parlimen Petaling Jaya

SHAH ALAM – Kerajaan digesa untuk mengecualikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) ke atas lebih banyak buah import, terutamanya buah limau mandarin dan kurma.
Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung berkata, kedua-dua buah ini merupakan makanan yang sinonim dan tidak dapat dipisahkan daripada sambutan perayaan utama rakyat Malaysia, iaitu Tahun Baharu Cina, Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri.
Menurutnya, pengenaan cukai lima peratus ke atas buah-buahan tersebut bukan sahaja menambah beban kepada pengguna, malah bercanggah dengan prinsip asal pelaksanaan SST yang dikatakan hanya memberi kesan kepada golongan tertentu sahaja.
“Jika pengecualian tidak diberikan, keadaan ini turut memberi tekanan kepada peniaga kecil dan pengimport yang bergantung kepada permintaan bermusim bagi menampung kos operasi.
“Sehubungan itu, saya mencadangkan agar Kementerian Kewangan mempertimbangkan pengecualian khas SST ke atas buah limau mandarin semasa musim Tahun Baharu Cina dan kurma semasa Ramadan serta Aidilfitri.
“Ia sebagai sebahagian daripada pendekatan fiskal bersasar yang sensitif terhadap keperluan budaya dan agama rakyat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa kerajaan akan memberikan pengecualian SST terhadap buah-buahan import tertentu termasuk epal dan oren susulan maklum balas orang ramai berhubung harga buah tempatan dan import.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, walaupun kerajaan mahu menggalakkan rakyat mengutamakan buah-buahan tempatan seperti jambu, rambutan dan durian, langkah pengecualian cukai ke atas dua buah import utama itu dibuat bagi memastikan golongan berpendapatan rendah masih mampu mendapatkan pilihan makanan sihat.
Tambah Chean Chung, pihaknya yakin bahawa cadangan mengecualikan SST terhadap limau mandarin dan kurma tidak akan memberi kesan ketara kepada hasil negara.
“Ini kerana ia bersifat bermusim dan terhad, tetapi memberi impak sosial dan ekonomi yang besar kepada kesejahteraan rakyat.
“Sebagai rakan kepada Kementerian Kewangan, saya juga bersedia untuk mengadakan perbincangan lanjut bagi memperhalusi mekanisme pelaksanaan cadangan ini demi mengurangkan beban rakyat,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

