MLFF: Langkah proaktif diambil sebelum PAC kemuka syor

PUTRAJAYA - Kementerian Kerja Raya (KKR) telah mengambil langkah proaktif bagi memastikan pelaksanaan sistem kutipan tol Aliran Bebas Pelbagai Lorong (MLFF) tersusun dan teratur.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, langkah terbabit telah dilakukan sebelum Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) melaksanakan kajian menyeluruh dan mengemukakan syor mengenai sistem itu.
"Kami (KKR) berterima kasih kepada pasukan PAC atas ketekunan mereka dalam menilai perkara ini, yang amat penting bagi meningkatkan mutu, keselamatan dan keselesaan infrastruktur jalan raya dan pengangkutan negara.
"Meskipun KKR menerima baik syor yang dicadangkan oleh PAC, adalah penting untuk dinyatakan bahawa sebelum syor ini dikemukakan, KKR telah pun mengambil langkah-langkah proaktif selaras dengan cadangan tersebut bagi memastikan pelaksanaan MLFF dibuat secara tersusun dan terancang," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Nanta berkata, seperti yang dinyatakan PAC, kajian menyeluruh mengenai MLFF amat penting sebelum sebarang keputusan muktamad dibuat.
Beliau berkata, KKR akan terus menjalankan penilaian terperinci bagi menangani semua cabaran dari aspek teknikal, operasi, dan kewangan bagi memastikan peralihan kepada MLFF dilaksanakan dengan berkesan demi manfaat pengguna jalan raya.
"Pihak kementerian akan terus bekerjasama rapat dengan semua pihak berkepentingan bagi memastikan inisiatif ini selari dengan kepentingan negara serta meningkatkan kecekapan sistem kutipan tol di Malaysia," katanya.
Semalam, PAC membentangkan enam syor mengenai MLFF di Dewan Rakyat antaranya KKR serta Lembaga Lebuhraya Malaysia disyor melaksanakan analisis kos faedah yang lebih terperinci kerana jawatankuasa itu berpendapat sistem berkenaan tidak akan menyelesaikan kesesakan lalu lintas di lebuh raya bertol secara total. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!