Hobi pancing jadi lubuk rezeki

Hairul bersama hasil tangkapan,ikan kenerak
Hairul bersama hasil tangkapan,ikan kenerak
A
A
A

LIPIS - Siapa sangka hobi memancing yang sering dikaitkan dengan aktiviti santai menjadi sumber pendapatan tambahan buat seorang tukang kebun sekolah, Hairul Azman Maher, 53, dari Kampung Ganding di sini.

Bekerja sebagai tukang kebun sejak 30 tahun lalu, Hairul memanfaatkan setiap kali habis waktu kerja selain hujung minggu dan cuti sekolah untuk turun ke Sungai Jelai berhampiran bagi mencari rezeki.

Patin buah yang menjadi mangsa tangakapan Hairul di Sungai Jelai,Lipis.
Patin buah yang menjadi mangsa tangakapan Hairul di Sungai Jelai,Lipis.

Menurut bapa kepada dua anak ini, minatnya terhadap aktiviti memancing sudah berputik sejak zaman remaja lagi, namun kini ia bukan sekadar hobi, malah menjadi penyumbang penting kepada ekonomi keluarganya.

“Memang hasil tangkapan ikan sungai banyak membantu menampung kehidupan kami sekeluarga.

"Jika kena pada musimnya pendapatan boleh mencecah kira-kira RM1,000 sebulan.

"Selain memancing, buat masa sekarang saya lebih mudah guna jaring, tahan tajur selain pakai terubing kerana tidak perlu tunggu lama, letak pada waktu petang dan tengok hasil tangkapan pada waktu pagi sebelum pergi kerja," katanya kepada Sinar Harian.

Artikel Berkaitan:

Ikan begahak yang pernah dinaikkan oleh Hairul.
Ikan begahak yang pernah dinaikkan oleh Hairul.

Ujarnya, hasil tangkapan akan dijual kepada penduduk kampung dan juga pembeli tetap yang sudah mengetahui kualiti ikan sungai yang ditawarkannya.

“Saya anggap ini rezeki halal yang Tuhan bagi. Walaupun penat, tapi bila tengok macam-macam ikan rasa puas dan gembira,” jelasnya.

Ikan susur arus antara hasil tangkapan Hairul.
Ikan susur arus antara hasil tangkapan Hairul.

Katanya, pelbagai jenis ikan sungai diperoleh antaranya seperti kerai jelawat, patin buah, kenerak, begahak, susur arus dan baung.

"Kalau ditanya pengalaman manis, bila saya dapat ikan patin buah seberat lapan kilogram (kg) dan harganya mahal mencecah hingga RM150 sekilogram.

"Cuma buat masa ini, kehadiran ikan pendatang seperti baung ekor merah memang menjejaskan hasil tangkapan kepada kaki pancing dan nelayan sungai," tambahnya.

Jelasnya, selagi kudrat masih ada, dia akan terus menjadikan memancing sebagai sumber sampingan sambil menikmati keindahan alam semula jadi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!