Hijrah tuntut ummah bersatu, berani berubah hadapi cabaran dunia – Hajiji

KOTA KINABALU – Umat Islam di negeri ini diseru agar menjadikan semangat hijrah sebagai asas memperkukuh perpaduan dan keazaman untuk menghadapi cabaran baharu yang semakin kompleks dalam dunia serba mencabar hari ini, khususnya ancaman ketidakstabilan global dan kemelut geopolitik antarabangsa.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kemelut yang sedang melanda beberapa wilayah di Asia Barat termasuk Gaza, Iran, Lubnan dan Syria bukan sekadar isu serantau, tetapi memberi kesan besar terhadap kestabilan politik antarabangsa dan kesejahteraan ummah sejagat.
“Peperangan berterusan dan serangan tentera Zionis Israel ke atas wilayah Islam bukan sahaja melanggar undang-undang antarabangsa, malah mencabuli hak asasi manusia secara terang-terangan.
“Ini bukan isu kecil. Ia mampu mengubah sejarah dan geopolitik dunia,” katanya pada Majlis Perhimpunan Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Sabah 1447H/2025M di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada Jumaat.
Katanya lagi, umat Islam tidak boleh berpeluk tubuh dalam menghadapi cabaran baharu seperti ancaman Islamofobia, krisis kemanusiaan serta tekanan ekonomi dunia yang semakin memburuk akibat agenda ‘Order Baharu Dunia’ (New World Order) yang didorong kuasa besar Barat.
“Kita sedang berhadapan dengan cabaran terhadap tamadun ummah yang menuntut kesatuan, keimanan yang jitu, kekuatan dalaman dan iltizam kolektif. Kita tidak boleh lemah, berpecah atau hanya memandang dari jauh,” tegasnya.
Beliau berkata, semangat hijrah yang dibawa Rasulullah SAW perlu dijadikan pedoman dalam membina masyarakat Madani, iaitu masyarakat yang berteraskan keimanan, ilmu, akhlak, keadilan dan kemanusiaan.
“Membangunkan Ummah Madani tidak akan berjaya tanpa perubahan sikap dan kesanggupan melakukan penghijrahan nilai, daripada lemah kepada kuat, daripada mundur kepada maju, daripada berpecah kepada bersatu.
“Hijrah itu perjuangan dan setiap perjuangan perlu ada pengorbanan. Sama ada dari sudut sikap, masa, tenaga, wang ringgit atau prinsip. Inilah semangat yang harus dihayati dalam menelusuri tahun baharu Hijrah 1447 ini,” ujarnya.
Dalam pada itu, Hajiji turut menyeru seluruh rakyat agar berhijrah menguasai ilmu dan teknologi, membudayakan inovasi serta memperkukuh perpaduan dan amal kebajikan demi kesejahteraan ummah secara menyeluruh.
Beliau juga mengajak rakyat memperteguh tekad dan azam tahun baharu Hijrah dengan menjadikan perubahan sebagai satu budaya yang mendasari kejayaan diri, keluarga, masyarakat dan negeri.
“Sambutan Maal Hijrah bukan sekadar memperingati sejarah, tetapi harus menjadi pemangkin perubahan dan pembaharuan menuju kecemerlangan. Bersama kita hayati semangat hijrah dan jayakan pembangunan ummah secara inklusif dan menyeluruh,” katanya.
Sambutan Maal Hijrah kali ini turut dihadiri Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman dan isteri, Toh Puan Faridah Tussin.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
