Hijrah titik tolak lakukan perubahan, tangani krisis alam Sultan Nazrin

Sultan Nazrin bertitah Majlis Sambutan Maal Hijrah Negeri Perak Darul Ridzuan 1447H peringkat negeri Perak pada Khamis.
Sultan Nazrin bertitah Majlis Sambutan Maal Hijrah Negeri Perak Darul Ridzuan 1447H peringkat negeri Perak pada Khamis.
A
A
A

IPOH - Pencabulan dilakukan terhadap mana-mana makhluk yang menyebabkan kemusnahan, kerosakan, pencemaran dan pembunuhan akan membawa kepada ketidakseimbangan serta terganggunya proses kitaran hidup alam semula jadi.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, apabila haiwan sudah mula berkeliaran menghampiri penempatan manusia, tandanya habitat mereka telah diganggu dan dicerobohi.

Titah baginda, Islam melarang keras sebarang bentuk pencemaran yang boleh merosakkan alam sekitar malah alam sekitar yang rosak bukan hanya memberi implikasi buruk kepada manusia, bahkan seluruh alam akan merasai kesan yang mengundang bencana dan bahaya.

Baginda bertitah, Islam memandang perbuatan mencemarkan alam sehingga merosakkan habitat dan menjejaskan kehidupan makhluk, sebagai perlakuan dosa dan pelakunya dilaknat.

"Amatlah tidak bertanggungjawab bagi manusia yang dikurniakan akal oleh Ilahi memilih melakukan kerosakan.

"Insaflah! Sedarlah! bencana yang semakin merosakkan bumi ini berpunca daripada manusia yang kufur, manusia yang melampaui batas, manusia yang melanggar perintah Ilahi, manusia yang melakukan dosa dengan mencabuli hak makhluk lain.

"Malah setiap insan dan setiap lapisan masyarakat wajib memenuhi tanggungjawab fardu kifayah memastikan setiap usaha pembangunan diseimbangkan dengan pemuliharaan alam sekitar," titah baginda sempena Majlis Sambutan Maal Hijrah Negeri Perak Darul Ridzuan 1447H peringkat negeri di sini pada Khamis.

Turut berangkat Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim dan Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Idris Shah.

Baginda diiringi Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan isteri, Datin Seri Aezer Zubin serta barisan exco kerajaan negeri.

Artikel Berkaitan:

Sultan Nazrin bertitah, dunia pada hari ini berhadapan fenomena alam yang mengalami pelbagai bencana sehingga mengancam kesejahteraan hidup dan kelestarian alam.

Titah baginda lagi, pertambahan bilangan serta kepadatan penduduk, penerokaan tanah dan penempatan baharu, pembinaan prasarana, peningkatan kawasan bandar dan pengembangan aktiviti perindustrian, telah secara langsung memberi kesan terhadap alam.

"Fenomena yang sedang berlaku seharusnya mencetuskan kesedaran kepada pelbagai pihak untuk berganding bahu menangani krisis alam yang semakin membimbangkan.

"Islam sebagai agama yang syumul mementingkan perlindungan terhadap alam sekitar dan mentakrifkan usaha memulihara alam sekitar sebagai ibadah," titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah, bumi ini ialah tempat tinggal sementara yang dipinjamkan oleh Allah SWT kepada manusia, sebelum manusia berpindah ke alam barzakh atau apabila sampai ketentuan yang bumi ini akan hancur dan lenyap ketika tibanya kiamat.

"Bumi ini juga ialah tempat tinggal dan keberadaan semua makhluk lain ciptaan dan milik Ilahi, merangkumi haiwan, unggas, kehidupan laut dan sungai, tumbuh-tumbuhan, sumber alam dan pelbagai kehidupan lain, berkongsi berada di bumi yang sama," titah baginda.

Sultan Nazrin turut menzahirkan harapan agar permulaan hijrah 1447 menjadi titik tolak keinsafan untuk melakukan perubahan dan menghentikan segala kebejatan yang memusnahkan alam.

"Semoga tema 'Hijrah dan Kelestarian: Menyatukan Ummah Memulihara Bumi' dapat meningkatkan kesedaran ummah terhadap kelestarian alam.

"Semoga tema tersebut berjaya mengungkap mesej berkesan, menggerakkan penghijrahan ummah untuk melestarikan bumi dan memulihara alam.

"Semoga ummah yang disedarkan dan ummah yang bersedia melakukan penghijrahan sikap, akan mentafsirkan usaha melestarikan alam dan memulihara bumi sebagai suatu amanah dan kewajipan ibadah yang ditaklifkan oleh Ilahi," titah baginda.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!