Zakat perlu diurus dengan amanah, telus - Sultan Nazrin

IPOH – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah bahawa pengurusan zakat mestilah berpaksikan kepada tadbir urus yang cekap, amanah, telus dan berintegriti.
Menurut baginda, sebarang bentuk penyelewengan atau salah guna kuasa hanya akan mencemarkan kepercayaan umat Islam terhadap institusi zakat.
Baginda menyingkap peristiwa pada zaman Rasulullah SAW melibatkan Al-Lutabiyyah – seorang pemungut zakat yang menerima hadiah daripada pembayar zakat.
Rasulullah mempertikaikan tindakan tersebut dan memperingatkan bahawa hadiah sebegitu boleh membawa unsur rasuah serta tidak wajar diterima oleh pemegang amanah zakat.
“Islam menegah keras perlakuan pecah amanah dan salah guna kuasa dalam kalangan mereka yang telah diberikan amanah, jawatan dan kuasa.
“Jadikan kisah Al-Lutabiyyah sebagai pedoman dan tanda aras etika kerja yang amanah, telus dan berintegriti dalam kalangan warga kerja Pusat Zakat,” titah baginda semasa menyempurnakan Majlis Pelancaran Zakat Perak Al-Ridzuan (ZAPAR) di sini, pada Khamis.
Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Tan Sri Mohd Annuar Zaini.
ZAPAR merupakan sebuah entiti korporat milik penuh MAIPk yang ditubuhkan bagi mempertingkat kecekapan kutipan dan memperkasa sistem pungutan zakat di negeri ini.
Dalam titahnya, Sultan Nazrin turut menegaskan bahawa zakat berperanan sebagai instrumen utama untuk menjamin keadilan sosial.
Jelas baginda, melalui zakat juga dapat mengangkat martabat golongan yang memerlukan dan merapatkan jurang antara golongan kaya dengan miskin.
“Di samping perintah mengutip zakat, ALLAH Subhanahu Wata‘ala turut memperincikan lapan golongan asnaf yang layak menerima zakat melalui firman-Nya dalam ayat 60, Surah At-Taubah.
“Ayat ini menjadi asas rujukan untuk mengurus pengagihan zakat secara adil dan teratur.
“(Ini) demi memastikan tidak berlaku sebarang penyelewengan hak golongan asnaf dan menentukan setiap sen yang dikutip dibelanjakan mengikut ketetapan ALLAH Subhanahu Wata‘ala,” titah baginda.
Sementara itu, Sultan Nazrin menyifatkan penubuhan ZAPAR sebagai inisiatif strategik untuk meningkatkan kecekapan, ketelusan dan akauntabiliti organisasi kepada perkhidmatan kutipan zakat yang lebih berkualiti kepada pelanggan dan rakyat.
“Pewujudan ZAPAR insya-ALLAH akan memberi manfaat besar kepada golongan asnaf dan para muzakki (pembayar zakat).
“Keutamaan tadbir urus yang cekap dan teratur serta berorientasi digital yang diterapkan di ZAPAR akan menyuburkan peranan institusi Islam seiring arus kontemporari,” titah baginda.
Kutipan zakat MAIPk meningkat 858 peratus, ZAPAR dilancar perkasa tadbir urus
IPOH – Kutipan zakat negeri Perak melonjak secara signifikan kepada RM253 juta pada tahun 2024.
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, peningkatan sebanyak 858 peratus dalam tempoh dua dekad itu adalah hasil keyakinan umat Islam terhadap sistem pengurusan zakat yang tersusun dan berintegriti.
Baginda bertitah, pencapaian luar biasa itu mencerminkan evolusi besar dalam pengurusan zakat negeri sejak penubuhan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) pada tahun 1949, yang ketika itu hanya mencatat kutipan sekitar RM400,000 setahun dalam dekad pertama operasinya.
“Pada tahun 2004, MAIPk merekodkan kutipan zakat bagi semua kategori merangkumi zakat harta dan zakat fitrah sebanyak RM26.3 juta.
“Boleh dirumuskan, kutipan zakat yang semakin meningkat ini dipengaruhi oleh faktor kesedaran yang bertambah, peningkatan pendapatan, insentif kerajaan, pengenalan wakalah, penambahbaikan pengurusan zakat dan keyakinan umat Islam terhadap MAIPk,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian semasa menyempurnakan Majlis Pelancaran Zakat Perak Al-Ridzuan (ZAPAR) di sini, pada Khamis.
Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Tan Sri Mohd Annuar Zaini.
Penubuhan ZAPAR sebagai sebuah syarikat sendirian berhad menandakan permulaan era baharu dalam tata kerja urusan pungutan zakat di negeri Perak, dengan pendekatan yang lebih profesional dan efisien, berteraskan digitalisasi selaras dengan keperluan serta kemajuan teknologi semasa.
Langkah strategik ini diambil bagi memastikan pengurusan kutipan zakat terus ditambah baik dan dilaksanakan secara telus, untuk meningkatkan keyakinan bukan sahaja dalam kalangan individu Muslim (muzakki), malah sektor korporat dan perniagaan.
Sultan Nazrin menyifatkan langkah yang diambil MAIPk melalui penubuhan ZAPAR sebagai pendekatan berani dan strategik dalam mengolah struktur organisasi serta budaya kerja baharu, selari dengan trend peningkatan kutipan zakat.
“Islam ialah agama yang memberi arah kepada umatnya untuk berusaha mencipta dan mencapai kemajuan, dengan bersedia melakukan penghijrahan; bukan sahaja dalam hal-hal spiritual tetapi juga perkara-perkara material.
“Institusi Islam yang dinamik perlu bergerak seiring dengan perubahan era digital dan kemajuan teknologi, agar tidak tenggelam dan tidak dilihat lapuk tanpa sebarang pembaharuan,” titah baginda.
Baginda turut menegaskan bahawa keutamaan terhadap tadbir urus yang cekap dan teratur serta berorientasikan digital yang diterapkan di ZAPAR akan terus menyuburkan peranan institusi Islam agar kekal relevan dalam arus kontemporari.
“Melalui platform digital, kutipan zakat kini dapat dilakukan dengan lebih mudah dan pantas.
“Kemajuan teknologi juga membantu mempercepatkan proses agihan yang lebih tepat sasaran, hasil pengumpulan maklumat yang lebih sistematik dan terperinci,” titah baginda.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

