PGA gagalkan cubaan seludup hampir 9 tan karkas babi dari Thailand

RANTAU PANJANG – Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya mematahkan cubaan menyeludup 8,910 kilogram (kg) karkas babi dipercayai dari Thailand selepas menahan sebuah lori dalam keadaan mencurigakan di Kampung Bukit Tandak, di sini, pada Rabu.
Rampasan yang dilakukan kira-kira jam 4 petang semasa penugasan Op Taring Wawasan itu membabitkan nilai keseluruhan RM595,000 termasuk kenderaan yang digunakan.
Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, hasil pemeriksaan mendapati karkas babi berkenaan berada di bahagian belakang lori tersebut.
“Ketika ditahan, pemandu gagal menunjukkan sebarang dokumen yang sah berkaitan barangan tersebut.
“Pemandu serta kelindan lori masing-masing berusia 37 dan 43 tahun dipercayai menjadi penghantar karkas babi itu ke pasaran tempatan,” katanya kepada pemberita pada Khamis.
Menurut beliau, semua barangan rampasan telah diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Kelantan untuk tindakan selanjutnya.
Ujarnya, kes disiasat di bawah Seksyen 36(1) Akta Binatang 1953.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

