Cubaan seludup dadah gagal, tekong terjun sungai larikan diri

Bot yang ditahan disyaki membawa muatan dadah.
Bot yang ditahan disyaki membawa muatan dadah.
A
A
A

LANGKAWI - Cubaan menyeludup dadah melalui laut digagalkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) selepas dua buah bot fiber mencurigakan berjaya dikesan di perairan Taman Nilam, dekat sini, petang Rabu.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, bot berkenaan dikesan kira-kira 0.03 batu nautika dari Timur Taman Nilam sekitar jam 3 petang oleh anggota yang menjalankan rondaan di bawah Op Aman, Op Tiris 3.0, Op Mardof Utara 1/2025 dan Op Bersepadu bersama beberapa agensi lain.

“Hasil pemeriksaan ke atas kedua-dua bot menemui 21 peket kecil straw, lima peket lutsinar disyaki mengandungi syabu, satu peket disyaki morfin serta beberapa peralatan membungkus dadah.

“Anggaran keseluruhan nilai rampasan mencecah RM41,000,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Antara barang-barang yang temui dalam bot yang ditahan.
Antara barang-barang yang temui dalam bot yang ditahan.

Beliau berkata, kedua-dua bot serta barang kes telah dibawa ke Jeti Maritim Negeri Kedah dan Perlis untuk siasatan lanjut.

“Bagaimanapun, dalam operasi ini, tekong bot bertindak melarikan diri dengan memecut ke kawasan cetek sebelum terjun ke dalam sungai untuk meloloskan diri.

Artikel Berkaitan:

"Kes disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya

Romli berkata, Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk aktiviti yang menyalahi undang-undang dan akan terus mempergiat rondaan serta operasi di Zon Maritim Malaysia, khususnya di perairan Kedah dan Perlis.

“Maritim Malaysia menyeru orang awam, khususnya komuniti maritim dan nelayan, agar menyalurkan maklumat sekiranya mengesan sebarang aktiviti mencurigakan atau kecemasan di laut melalui talian kecemasan 999 atau terus ke Pusat Operasi Maritim Negeri Kedah dan Perlis di talian 04-9662750,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!