PeSAWAH tuntut janji subsidi pembajakan, penuaian sejak tiga musim lalu

Abdul Rashid Yob
Abdul Rashid Yob
A
A
A

ALOR SETAR – Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) menzahirkan rasa kecewa terhadap Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) yang didakwa gagal menunaikan janji subsidi pembajakan dan penuaian sejak tiga musim lalu.

Pengerusinya, Abdul Rashid Yob berkata, insentif yang dijanjikan susulan pemansuhan subsidi diesel pada Jun 2024 sehingga kini belum direalisasikan.

Menurutnya, sejak penyasaran subsidi diesel berkuat kuasa, para pesawah terpaksa menanggung peningkatan kos operasi sebanyak 55 peratus sehingga kini.

“Peningkatan mendadak ini telah memberi beban kewangan yang serius kepada pesawah, sedangkan janji insentif pembajakan dan penuaian diumumkan sebagai langkah untuk meringankan beban tersebut,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Dakwanya, kelewatan dan kelemahan tadbir urus pihak kementerian jelas membebankan para pesawah dan janji insentif ini telah diuar-uarkan sejak tiga musim penanaman padi lalu, namun belum ada pelaksanaannya.

Beliau menyifatkan beban kewangan akibat peningkatan mendadak harga diesel bukan sahaja menyulitkan pesawah untuk meneruskan operasi, malah memberi tekanan terhadap kelangsungan bekalan makanan negara.

“Para pesawah telah menanggung peningkatan kos operasi yang tinggi selama ini, dan tindakan KPKM yang sangat lambat ini menunjukkan kurangnya keprihatinan terhadap punca pendapatan kami.

“PeSAWAH menggesa KPKM untuk mengambil tindakan segera dan melaksanakan janji insentif pembajakan dan penuaian tanpa berlengah lagi,” ujarnya.

Tambah beliau, kelewatan berterusan ini bukan sahaja menjejaskan kehidupan para pesawah, malah turut mengancam kelangsungan sektor pertanian negara.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!