[VIDEO] Status representasi pemandu Honda Jazz, 13 Ogos depan
SEREMBAN - Mahkamah Majistret di sini pada Khamis menetapkan 13 Ogos depan sebagai tarikh baharu untuk status representasi pemandu Honda Jazz yang menyebabkan tiga remaja maut di Senawang, Mac lalu.
Majistret, Nurul Azuin Mohd Talhah memutuskan demikian selepas peguam, Johan Radzi memaklumkan masih belum menerima jawapan daripada pihak pendakwaan.
Prosiding tersebut bagaimanapun berlangsung secara tertutup berikutan tertuduh yang berusia 17 tahun merupakan pesalah di bawah umur.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh sebagai pemandu Honda Jazz telah memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian Muhammad Aidil Ramdan Abdullah, 15, Muhammad Aswari Lotpi, 16, dan Aisar Azim Abdullah, 17.
Pendakwaan dibuat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara antara lima hingga 10 tahun dan denda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM50,000.

Kesalahan itu dilakukan kira-kira jam 8.30 malam di lampu isyarat Jalan Persiaran Senawang 1, Taman Matahari Height, Senawang di sini pada 6 Mac lalu.
Bagi pertuduhan kedua, remaja lelaki itu didakwa tidak memiliki lesen memandu di lokasi dan masa sama.
Berikutan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 26(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang boleh didenda tidak kurang RM300 hingga RM2,000 atau penjara maksimum tiga bulan atau kedua-duanya.
Bagaimanapun pada prosiding kes 23 April lalu, tertuduh tidak mengaku bersalah atas kedua-dua pertuduhan dan pada 21 Mei, peguamnya memberitahu akan mengemukakan representasi.

Sementara itu pada prosiding berlainan, Johan yang turut mewakili ibu tertuduh yang berusia 40 tahun memberitahu telah mendapat arahan anak guamnya itu supaya tidak memasukkan representasi.
Justeru, beliau memohon tarikh perbicaraan dan mahkamah menetapkan pada 13 dan 14 Januari 2026.
Timbalan Pendakwa Raya, P Rubini memaklumkan dijangka seramai empat saksi pendakwaan yang akan dipanggil.
Mengikut pertuduhan, tertuduh pada tarikh dan di lokasi sama, sebagai pemilik kenderaan jenis Honda Jazz didakwa membenarkan anak lelakinya berusia 17 tahun memandu kenderaannya.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 39(5) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Wanita itu juga tidak mengaku bersalah.
Terdahulu, remaja 17 tahun itu yang berkerusi roda hadir bersama ibunya dengan ditemani ahli keluarga lain.
Media sebelum ini melaporkan dua pelajar lelaki berusia 15 dan 16 tahun maut selepas motosikal yang dinaiki dirempuh sebuah Honda Jazz yang dipercayai melanggar lampu isyarat merah.
Empat hari kemudian, seorang lagi mangsa yang cedera parah turut meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di sini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

