'RM2 untuk seekor tikus'

Sabin (tga dari kiri) ketika bergotong royong selepas melancarkan Kempen Membasmi Tikus di sekitar Pasar Besar Kota Kinabalu.
Sabin (tga dari kiri) ketika bergotong royong selepas melancarkan Kempen Membasmi Tikus di sekitar Pasar Besar Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Penjaja di sekitar bandar raya ini ditawarkan insentif RM2 bagi setiap ekor tikus yang berjaya ditangkap, sebagai sebahagian daripada Kempen Membasmi Tikus oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) yang dilancarkan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).

Kempen itu bertujuan meningkatkan tahap kebersihan bandar raya sekali gus menjadikannya destinasi yang selamat dan menarik untuk dikunjungi pelancong tempatan mahupun luar negara.

Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Seri Sabin Samitah berkata, tahap kebersihan di beberapa lokasi masih tidak memuaskan akibat pembuangan sampah dan sisa makanan secara tidak teratur yang mengundang kehadiran haiwan perosak seperti lipas, lalat dan tikus (LiLaTiN).

"Kempen ini dilaksanakan bagi memastikan bandar raya ini kekal bersih, selain mengekang penularan penyakit seperti Leptospirosis yang berpunca daripada tikus.

"Kehadiran tikus bukan sahaja mengancam kesihatan pengunjung, malah menjejaskan imej bandar raya, khususnya di lokasi tumpuan seperti Pasar Besar Kota Kinabalu," katanya kepada pemberita selepas melancarkan kempen di Pasar Besar Kota Kinabalu di sini pada Rabu.

Sabin berkata, kempen tangkap tikus itu berlangsung hingga 31 Julai dan setiap tangkapan perlu diserahkan kepada pihak DBKK untuk direkod dan dilupuskan.

"DBKK sememangnya melaksanakan operasi menangkap tikus secara rutin, tetapi kali kita perluaskan skala kempen ini sebagai usaha kesedaran kepada penjaja dan orang awam.

"Dalam masa sama, kita akan pastikan aspek kebersihan terus dipertingkatkan termasuk penyediaan tong sampah mencukupi dan kutipan sisa mengikut jadual bagi mengelak lambakan sampah yang boleh menarik kehadiran tikus dan serangga lain," jelasnya.

Mengulas perhimpunan Gempur Rasuah 2.0 yang berlangsung pada Sabtu dan Ahad lalu, Sabin menegaskan bahawa tindakan undang-undang akan diambil sekiranya terdapat kerosakan terhadap harta milik DBKK.

Artikel Berkaitan:

"Sekiranya didapati ada individu atau kumpulan merosakkan harta awam, kita tidak teragak-agak mengambil tindakan berdasarkan undang-undang sedia ada.

"Kita juga meneliti tahap kebersihan kawasan terlibat dan sebarang kesan pembakaran yang mungkin berlaku, terutamanya jika membabitkan penggunaan petrol atau bahan mudah terbakar," katanya.

Beliau berkata, DBKK bertanggungjawab untuk memastikan kawasan terlibat dalam keadaan baik walaupun telah dibersihkan oleh kumpulan tersebut.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!