Gencatan senjata Iran-Israel goyah

Aktivis berhimpun di luar ibu pejabat parti Likud di Tel Aviv bagi menuntut pembebasan tebusan Israel yang masih ditahan di Gaza sejak serangan 7 Oktober 2023. AFP
Aktivis berhimpun di luar ibu pejabat parti Likud di Tel Aviv bagi menuntut pembebasan tebusan Israel yang masih ditahan di Gaza sejak serangan 7 Oktober 2023. AFP
A
A
A

BAITULMAQDIS - Gencatan senjata antara Iran dan Israel yang diumumkan pada 25 Jun lalu menamatkan pertempuran bersenjata selama 12 hari, namun pakar-pakar memberi amaran bahawa perjanjian itu rapuh dan konflik boleh meletus semula pada bila-bila masa.

Pakar dasar luar dari Carnegie Endowment, Nicole Grajewski menyifatkan gencatan itu sebagai "terlalu rapuh" kerana tiada sebarang perjanjian bertulis dimeterai antara kedua-dua pihak selain masih berlaku serangan bersifat ‘bayangan’.

Duta khas Asia Barat Amerika Syarikat (AS), Steve Witkoff pula mengakui konflik buat masa ini terhenti tetapi tidak menolak ia sekadar jeda sementara, bukannya penyelesaian sebenar.

Sistem pertahanan udara Israel diaktifkan bagi memintas peluru berpandu Iran di Tel Aviv pada awal 18 Jun. AFP
Sistem pertahanan udara Israel diaktifkan bagi memintas peluru berpandu Iran di Tel Aviv pada awal 18 Jun. AFP

Walaupun Presiden AS, Donald Trump mendakwa serangan udara telah memusnahkan kemudahan nuklear Iran sepenuhnya, laporan risikan AS pula menyatakan kerosakan sebenar hanyalah sekitar beberapa bulan kelewatan dalam program nuklear Teheran.

Menurut laporan awal Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), fasiliti utama Iran di Natanz, Fordow dan Isfahan hanya rosak separa dan tidak lumpuh sepenuhnya seperti yang didakwa Washington dan Tel Aviv.

Sebaliknya, pakar pertahanan antarabangsa menjelaskan bahawa kerosakan dari serangan balas Iran ke atas Israel lebih mendalam dan memberi impak ketara kepada infrastruktur awam dan kestabilan ekonomi negara itu.

Antara serangan paling membimbangkan ialah ke atas Hospital Soroka di Beersheba yang menyebabkan kebocoran kimia dan puluhan mangsa cedera selepas terkena serangan peluru berpandu jarak jauh Iran.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, angka korban menunjukkan perbezaan ketara iaitu lebih 610 orang terbunuh di Iran termasuk saintis dan pegawai kanan tentera, manakala serangan balas Iran ke atas Israel menyebabkan 28 maut tetapi puluhan ribu rakyat terpaksa berpindah.

Namun begitu, dari sudut kerosakan ekonomi, Israel dilihat menanggung kos paling tinggi dalam konflik kali ini.

Anggaran awal dari pakar pertahanan Israel menyatakan kos keseluruhan mencecah AS$725 juta (RM3.42 bilion) sehari sepanjang tempoh perang.

Menurut Bank of Israel, kos pemulihan selepas konflik dianggarkan sebanyak AS$67 bilion (RM316.24 bilion), termasuk kos pertahanan, bantuan kemanusiaan, pemulihan infrastruktur dan perbelanjaan untuk sistem peluru berpandu Iron Dome dan David’s Sling.

Kajian oleh Aaron Institute for Economic Policy menyebut perang yang berpanjangan boleh menyusutkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Israel sehingga tujuh peratus dan meningkatkan defisit belanjawan negara ke paras lapan peratus.

Sepanduk bertulis
Sepanduk bertulis "Mr. President, finish the job" ditujukan kepada Presiden AS, Donald Trump, dirakam di Tel Aviv. AFP

Laporan itu turut menyatakan pelabur luar mula menarik balik dana dan menangguhkan pelaburan baru ke dalam pasaran Israel kerana ketidakstabilan jangka panjang dan risiko geopolitik yang semakin meningkat.

Sebaliknya, Iran meskipun berdepan sekatan ekonomi dan inflasi, mereka masih mampu mengekalkan kestabilan asas, dengan bantuan dari sekutu seperti China dan Rusia serta menggunakan proksi di rantau seperti Hizbullah dan Houthi.

Pakar menambah, Iran juga masih menyimpan kad strategik termasuk potensi menutup Selat Hormuz dan menggunakan militia di Iraq serta Syria untuk memberi tekanan ketenteraan tidak langsung ke atas Israel dan AS.

Kebimbangan turut timbul dari Presiden Perancis, Emmanuel Macron yang memberi amaran bahawa Iran mungkin terus mempercepat pengayaan uranium secara rahsia selepas kemudahan nuklear mereka diserang.

Namun buat masa ini, Presiden Iran, Masoud Pezeshkian menyatakan kesediaan kembali ke meja rundingan berkaitan nuklear, tetapi menegaskan hak negaranya terhadap penggunaan tenaga atom secara aman tidak akan dikompromi.

Dalam masa sama, ketua tentera Israel, Leftenan Jeneral Eyal Zamir mengumumkan bahawa selepas gencatan dengan Iran, operasi ketenteraan akan kembali fokus kepada Hamas di Genting Gaza.

Rakyat Israel sendiri menyuarakan rasa letih dan trauma selepas 12 hari hidup dalam ketakutan akibat siren dan roket, dengan ramai menyeru agar kerajaan mempercepat rundingan damai termasuk di Gaza.

Penilaian akhir pakar menyimpulkan bahawa walaupun kedua-dua negara mengalami kerosakan ketara, Israel adalah pihak paling terjejas iaitu dari segi kewangan, sosial dan politik, manakala Iran masih mempunyai ruang untuk bertahan dan membina semula.

Gencatan senjata ini buat masa ini menghentikan darah tumpah, namun kestabilan jangka panjang di Asia Barat masih tergantung dan bergantung kepada kesediaan kedua-dua pihak menamatkan kitaran keganasan yang berpanjangan. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!