[VIDEO] Pemandu tunjuk isyarat lucah: Syarikat bas ekspres digantung sebulan

A
A
A

PUTRAJAYA – Sebuah syarikat bas ekspres digantung operasi selama sebulan bermula awal Julai depan selepas pemandunya dikesan memandu secara berbahaya dan menunjukkan isyarat lucah kepada pengguna lebuh raya dalam satu kejadian yang tular di media sosial baru-baru ini.

Tindakan tegas itu diambil Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) susulan arahan segera Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook yang melihat sendiri rakaman kejadian berdurasi 30 saat itu.

“Saya terus hantar mesej kepada Ketua Pengarah JPJ dan APAD sebaik melihat video tersebut dan minta tindakan segera diambil.

"Hasilnya, syarikat itu digantung selama sebulan, bukan hanya satu bas, tetapi keseluruhan operasinya,” katanya ketika sidang akhbar di Bangunan MOT di sini pada Rabu.

Menurutnya, audit ke atas syarikat berkenaan turut mendedahkan beberapa pelanggaran peraturan lain yang serius dan membahayakan keselamatan pengguna jalan raya.

Katanya, penggantungan tersebut bertujuan memberi mesej jelas kepada semua pengendali pengangkutan awam agar tidak mengambil mudah aspek keselamatan.

Loke pada sidang akhbar di Bangunan MOT pada Rabu. Foto Sinar Harian ROSLI TALIB
Loke pada sidang akhbar di Bangunan MOT pada Rabu. Foto Sinar Harian ROSLI TALIB

“Kita tidak boleh kompromi dalam hal ini. Pemandu bas ekspres membawa 30 hingga 40 penumpang pada satu masa.

Artikel Berkaitan:

"Keselamatan mereka mesti menjadi keutamaan,” tegasnya.

Terdahulu, video berdurasi 30 saat yang tular pada 13 Jun lalu memaparkan sebuah bas ekspres memotong kenderaan lain melalui lorong kecemasan sebelum pemandunya menunjukkan isyarat lucah kepada individu yang dipercayai merakam kejadian dari dalam kereta.

Tindakan pemandu tersebut mengundang kemarahan netizen dan mencetuskan kebimbangan orang ramai terhadap tahap keselamatan perkhidmatan bas ekspres.

Loke berkata, orang ramai digalakkan merakam dan menyebarkan insiden pemanduan berbahaya bagi membantu pihak berkuasa mengambil tindakan pantas.

Pemandu bas ekspres menunjukkan isyarat lucah selepas menyedari tindakannya memandu laju dirakam oleh seorang pengguna jalan raya.
Pemandu bas ekspres menunjukkan isyarat lucah selepas menyedari tindakannya memandu laju dirakam oleh seorang pengguna jalan raya.

“Kadangkala, aduan rasmi lambat sampai tapi video tular sangat membantu kami untuk bertindak segera.

"Namun, pastikan video yang dirakam jelas menunjukkan nombor pendaftaran, nama syarikat, lokasi dan masa kejadian,” ujarnya.

Menurut beliau, JPJ dan APAD akan menjalankan siasatan terperinci ke atas setiap laporan yang diterima, termasuk mendapatkan data GPS kenderaan bagi mengesahkan kelajuan dan lokasi kejadian.

“Kita bukan tengok video sahaja, kita siasat juga. Siapa pemandu, sejauh mana dia pandu laju, dan adakah berlaku pelanggaran undang-undang. Bila terbukti, kita akan ambil tindakan,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Loke memaklumkan semua syarikat yang dikenakan saman diberi tempoh 14 hari untuk membuat bayaran atau berdepan tindakan lanjut.

“Kita mahu mereka rasa kesannya. Bayaran saman itu bukan semata-mata hukuman kewangan, tetapi satu bentuk pendidikan agar mereka ubah budaya kerja dan mengutamakan keselamatan,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa walaupun fokus semasa kementerian adalah terhadap sektor pengangkutan awam seperti bas dan lori, penguatkuasaan terhadap kenderaan persendirian dan motosikal turut akan dipertingkat dari semasa ke semasa.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!