Nyahaktif media sosial, 'bersahabat' dengan buku dan al-Quran rahsia cemerlang STPM

NURATIKAH ATHILYA HASSAN

No Image Caption
A
A
A

JOHOR BAHRU - Amalan membaca al-Quran setiap malam dan menyahaktif akaun media sosial menjadi rahsia kejayaan seorang pelajar dari keluarga besar yang berjaya meraih Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.0 dalam keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2024.

Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ulu Tiram, Ummikalsum Yusuf, 20, berkata, dia menjadikan al-Quran sebagai penenang jiwa setiap malam selepas solat isyak.

Menurutnya, selain itu inisiatif memadam akaun TikTok, Facebook dan Instagram miliknya juga merupakan kaedah untuk menjauhkan diri daripada gangguan media sosial sepanjang tempoh pembelajaran.

“Setiap hari lepas solat Isyak, saya akan membaca al-Quran sebelum mengulang kaji pelajaran.

"Saya belajar waktu malam antara dua ke tiga jam dan pukul 12 tengah malam saya akan tidur,” katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Ummikalsum yang merupakan anak ke-10 daripada 16 beradik itu memperoleh semua A dalam empat subjek iaitu Pengajian Am, Sejarah, Ekonomi dan Pengajian Perniagaan.

Menurutnya, dia terinspirasi dengan pengorbanan kedua ibu bapanya, Yusof Osman, 60, dan Sakirah Saleh, 54, yang mencari rezeki dengan berniaga air kelapa di pasar malam meskipun berdepan pelbagai cabaran.

“Kami hidup dalam keluarga yang sederhana, ibu ayah kerja berniaga pasar malam sahaja, pendapatan tak menentu untuk membesarkan kami 16 beradik.

“Pahit getir dalam mereka mencari rezeki membuatkan hati saya tersentuh dan sedih sebab mereka tak pernah mengeluh semata-mata mahu lihat kami berjaya dalam hidup.

Artikel Berkaitan:

“Kadang-kadang mereka diuji, maklum sahajalah berniaga buka khemah, pernah dilanda ribut, hujan dan sebagainya.

"Itu jadi inspirasi dekat saya, saya cakap dalam diri, aku kena berjaya, buktikan dan banggakan ibu ayah,” luahnya.

Ummikalsum berkata, dia turut menguruskan adik-adiknya setiap hari selepas pulang dari sekolah kerana ibu bapanya keluar berniaga dan masa lapang digunakan sebaiknya dengan membaca buku.

Mengulas lanjut, bekas pelajar SMK Sungai Tiram itu memaklumkan, dia menggunakan wang saku secara berhemah dan terpaksa meminjam komputer riba rakan untuk menyiapkan tugasan.

“Kalau hari cuti, rutin harian saya uruskan adik-adik dari bangun pagi 6 pagi, masak dan sebagainya.

"Pada saya masa itu berharga, sambil goreng ikan atau ayam pun saya baca buku, saya gantikan gajet kepada buku.

“Saya sedar kami ditakdirkan berkeluarga yang tidak semewah orang lain, duit saku ke sekolah ayah beri RM6 sehari dan saya guna RM2 untuk makan, baki simpan untuk buat kerja kursus dan sebagainya.

“Saya tiada ‘printer’, jadi duit yang ada saya gunakan untuk cetak kerja kursus. Saya juga terpaksa pinjam laptop (komputer riba) kawan sebab saya punya sudah rosak,” ujarnya.

Menurut Ummikalsum, buat masa ini dia bekerja sebagai guru pendidikan awal kanak-kanak di sebuah taman didikan kanak-kanak swasta di Puteri Wangsa sejak April lalu.

Tambahnya, dia juga menanam impian yang tinngu untuk melanjutkan pengajian ke Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) atau Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam bidang pendidikan khas bagi mengejar cita-citanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!