Kelantan tanam cip lembu sejak 2021

PASIR MAS – Kerajaan Kelantan melaksanakan pemakaian cip pada lembu sejak tiga tahun lalu bagi memperkemas pengurusan data ternakan ruminan selain mengekang penyeludupan.
Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi negeri, Datuk Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, langkah dilaksanakan bagi memudahkan pengurusan maklumat lebih 100,000 lembu ternakan di negeri ini sekali gus mengukuhkan jaminan makanan negeri.
Menurut beliau, setakat ini lebih 30,000 lembu didaftarkan melalui sistem pengenalan haiwan secara digital e-Ternak di negeri itu bermula 2021.
“Selepas daftar ada dua cara kenal pasti lembu. Pertama kaedah sekian lama digunakan iaitu tag telinga atau nombor yang popular kerana kos hanya RM5.
“Kedua pula bermula tiga tahun lepas, sebahagian lembu guna cip yang ditanam dalam badan dan kosnya lebih mahal berharga RM30 serta diguna pada baka premium seperti charolais untuk elak rosak telinga,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas lawatan ke ladang lembu charolais Agrovalley Rong Chenok di sini pada Rabu.
Menurut beliau, kedua-dua kaedah berkenaan menyimpan maklumat penting seperti umur, baka, sejarah vaksinasi dan rekod pembiakan seterusnya memudahkan pemantauan kesihatan serta kawalan penyakit ternakan bagaimanapun masih ada ternakan berdaftar tetapi tidak memakai cip atau tag telinga.
Tuan Saripudin berkata, penggunaan cip dan tag ini juga berperanan besar dalam mengenal pasti pemilik haiwan yang berkeliaran, terutama dalam kes kemalangan atau kerosakan harta benda awam.
“Apabila ada cip, kita boleh imbas guna pengimbas, terus tahu siapa tuan lembu.
“Ini penting kalau berlaku kemalangan atau nak pantau ketika haiwan sakit, perlu divaksin atau melahirkan anak,” katanya.
Sebelum ini kerajaan Terengganu akan menggubal enakmen baharu bagi mewajibkan pemilik ternakan mendaftar dan memasang kod QR pada haiwan sebagai langkah mengatasi isu ternakan berkeliaran yang berlarutan sejak sekian lama.
Tambah beliau, Kerajaan Kelantan kini sedang memuktamadkan kaedah pelaksanaan di bawah Enakmen Ternakan Ruminan 2024 yang akan mewajibkan semua pemilik mendaftarkan haiwan ternakan secara berperingkat.
“Kami perluaskan juga terhadap kuda, kambing dan biri-biri. Mereka diberi pilihan, ikut kemampuan sama ada guna cip atau tag telinga, yang penting haiwan didaftarkan dan dikenal pasti.
“Kami sasarkan pelaksanaan enakmen itu selewat-lewatnya pada hujung tahun ini,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

