Lelaki Rohingya didenda RM2,000 mengaku rasuah polis RM150

ALOR SETAR – Seorang lelaki etnik Rohingya dikenakan denda RM2,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu selepas mengaku bersalah cuba menyogok anggota polis RM150 bulan lalu.
Walau bagaimanapun Hakim N Priscilla Hemamalini mengarahkan tertuduh, Hamid Husson Abul Husson, 22, dipenjara dua bulan jika gagal membayar denda tersebut.
Berdasarkan pertuduhan, Hamid Husson didakwa melakukan perbuatan itu sebagai usaha mengelak daripada dikenakan tindakan undang-undang kerana memandu tanpa lesen sah di Jalan Kampung Kubang Menerong, Padang Sera, Kodiang pada 25 Mei lalu kira-kira jam 4.30 petang.
Tertuduh didakwa menawarkan wang tunai kepada Koperal Mohd Zulhelmi Abdullah sebagai dorongan agar tidak mengambil tindakan ke atasnya.
Kesalahan tersebut berada di bawah Seksyen 214 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Pegawai pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd Zulfadli Azharuddin memohon hukuman setimpal yang mencerminkan keseriusan kesalahan dan menjadi pengajaran kepada masyarakat.
Bagaimanapun, peguam bela, Nursyafiqin Ahmad merayu hukuman ringan memandangkan anak guamnya tidak mempunyai rekod jenayah dan memiliki kad pelarian sah daripada Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).
Menurutnya, Hamid Husson hanya bekerja sebagai buruh ladang dengan pendapatan kira-kira RM1,000 sebulan bagi menyara isteri, ibu dan anak.
“Ini merupakan kesalahan pertama tertuduh sejak tinggal di Malaysia selama tujuh tahun. Tertuduh mohon agar hukuman denda yang minimum dikurangkan selain tidak dipenjarakan kerana perlu bekerja untuk menyara keluarga,” katanya.
Hakim N Priscilla kemudiannya menjatuhkan hukuman tersebut sebelum tertuduh membayar denda berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

