'Boleh bayar dengan badan’ - Pelancong wanita diganggu pemandu teksi

Seorang pelancong wanita dari Thailand mendakwa diganggu secara seksual oleh seorang pemandu teksi ketika berada di Korea Selatan.
Seorang pelancong wanita dari Thailand mendakwa diganggu secara seksual oleh seorang pemandu teksi ketika berada di Korea Selatan.
A
A
A

SEOUL - Seorang pelancong wanita dari Thailand mendakwa diganggu secara seksual oleh seorang pemandu teksi ketika berada di Korea Selatan.

Insiden tersebut dirakam sendiri oleh mangsa yang dikenali sebagai Lalin Lyn, sebelum dimuat naik ke TikTok pada Khamis dan tular hingga mencetuskan kemarahan ramai pengguna media sosial.

Menurut laporan The Korea Herald, dalam rakaman tersebut, pemandu teksi terbabit dilihat berkomunikasi dengan Lyn menggunakan aplikasi penterjemah sambil mengajukan soalan peribadi yang tidak sesuai.

Insiden itu kemudiannya mengundang kemarahan netizen di Korea Selatan yang memenuhi ruangan komen untuk memohon maaf dan menuntut tindakan diambil terhadap pemandu terbabit.

Difahamkan, wanita Thailand itu menaiki teksi menuju ke Stesen Seoul bagi menaiki kereta api laju Korea Train Express (KTX) ke Busan.

Sepanjang perjalanan, pemandu berkenaan pada awalnya berbual secara biasa sebelum menukar topik kepada hal peribadi, termasuk bertanya sama ada Lyn mempunyai teman lelaki dan kenapa masih belum berkahwin.

Katanya, pemandu itu turut menawarkan pekerjaan sebagai tukang cuci kepadanya.

Selepas mengetahui destinasi Lyn ialah Busan, lelaki tersebut juga mencadangkan agar dia sendiri yang menghantarnya ke sana.

"Kalau awak tak ada duit tambang, awak boleh bayar dengan badan awak," katanya.

Artikel Berkaitan:

Video rakaman yang dikongsi oleh Lyn di TikTok berkenaan dirinya diganggu pemandu teksi di Korea Selatan. Sumber foto TikTok Lalin Lyn
Video rakaman yang dikongsi oleh Lyn di TikTok berkenaan dirinya diganggu pemandu teksi di Korea Selatan. Sumber foto TikTok Lalin Lyn

Lyn juga memberitahu, saat paling menakutkan berlaku apabila pemandu itu tiba-tiba memberhentikan kenderaan untuk berbual dengan lebih lanjut.

Bagaimanapun, tidak lama kemudian, Lyn tiba dengan selamat di destinasinya.

Sebelum berpisah, pemandu itu sempat memberikan nombor telefon dan bertanya bila wanita itu akan kembali ke Seoul.

Susulan itu, Lyn kemudiannya berkongsi video tersebut sebagai peringatan kepada pelancong wanita lain yang merancang untuk ke Korea Selatan.

“Jangan anggap ia selamat hanya kerana ia Korea.

“Walaupun Korea mempunyai ramai orang baik, itu tidak bermakna negara ini 100 peratus selamat,” ujarnya.

Tindakan Lyn itu menerima sokongan ramai rakyat Korea yang tampil memohon maaf atas kelakuan pemandu tersebut.

“Sebagai rakyat Korea, saya benar-benar minta maaf. Sepatutnya awak cipta kenangan manis di sini, tapi disebabkan orang yang tak bertanggungjawab ini, awak jadi trauma,” kata seorang pengguna.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!