Korea Selatan kekalkan had kemasukan pelajar perubatan 3,000 setahun

Ribuan doktor pelatih telah berhenti bekerja sebagai tanda bantahan terhadap rancangan kerajaan meningkatkan bilangan pelajar di institusi perubatan.
Ribuan doktor pelatih telah berhenti bekerja sebagai tanda bantahan terhadap rancangan kerajaan meningkatkan bilangan pelajar di institusi perubatan.
A
A
A

SEOUL - Kementerian Pendidikan Korea Selatan bersetuju mengekalkan had kemasukan pelajar baharu dalam bidang perubatan pada sekitar 3,000 orang setahun.

Perkara itu dilakukan kerajaan negara itu dalam usaha menamatkan pertikaian selama 13 bulan melibatkan mogok doktor pelatih dan pemboikotan kelas.

Menteri Pendidikan, Lee Jun Ho menegaskan, kerajaan tetap dengan keputusan untuk meningkatkan kuota pelajar perubatan dan menetapkan tempoh sehingga hujung Mac ini bagi membolehkan doktor pelatih kembali bertugas.

“Kerajaan tetap dengan keputusan untuk menambah kuota pelajar perubatan. Namun usaha memulihkan semula kepercayaan antara komuniti perubatan dan kerajaan juga penting,” katanya.

Sejak Februari tahun lalu, ribuan doktor pelatih telah berhenti bekerja sebagai tanda bantahan terhadap rancangan kerajaan meningkatkan bilangan pelajar di institusi perubatan.

Kedua-dua pihak tidak bersependapat mengenai kaedah terbaik untuk memperbaiki sistem penjagaan kesihatan negara yang semakin terjejas akibat peningkatan populasi warga tua.

Situasi itu telah memberi kesan besar kepada sistem kesihatan negara hingga menyebabkan pusat rawatan kecemasan di hospital menjadi sesak serta terdapat pembedahan yang terpaksa dibatalkan atau ditunda.

Sementara itu, Ketua Persatuan Doktor Pelatih, Park Dan menyatakan, pihaknya tidak akan tunduk kepada ancaman kerajaan sebaliknya menegaskan pelajar perubatan berhak menentukan keputusan mereka sendiri.

“Rancangan kerajaan itu dilihat sebagai ‘dasar gagal’ dan rundingan baharu perlu segera dilaksanakan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, kerajaan telah merancang untuk menambah 2,000 lagi kemasukan pelajar ke sekolah perubatan mulai 2025, menjadikan jumlah keseluruhan melebihi 3,000 bertujuan memenuhi keperluan tenaga doktor yang dijangka berkurangan menjelang 2035.

Sementara itu, Presiden Persatuan Kolej Perubatan Korea, Lee Jong Tae berkata, gaji dan keadaan kerja menjejaskan sistem kesihatan negara harus ditangani terlebih dahulu sebelum menaikkan jumlah doktor terutama di kawasan terpencil.

Bagaimanapun, beliau turut yakin bahawa pelajar perubatan akan kembali belajar selain menyeru semua pihak untuk bekerjasama agar dapat menarik semula kepercayaan penuntut bidang tersebut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!