Dua premis judi tanpa lesen diserbu MBDK

KLANG – Dua premis yang menjalankan aktiviti nombor ramalan tanpa lesen diserbu oleh Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) dalam satu operasi bersepadu di Taman Sentosa, di sini pada Selasa.
Operasi yang dijalankan pada jam 11 pagi itu melibatkan tiga premis, termasuk sebuah restoran dan dua premis nombor ramalan.
Menerusi kenyataan MBDK, hasil pemeriksaan mendapati dua premis berkenaan didapati beroperasi tanpa lesen perniagaan dan iklan yang sah.
“Tindakan penguatkuasaan telah diambil dengan satu sitaan barangan serta dua kompaun dikeluarkan terhadap pihak terlibat sepanjang operasi,” menurut kenyataan tersebut pada Rabu.
Menurut MBDK, operasi itu melibatkan Jabatan Pelesenan, Jabatan Penguatkuasa dan Jabatan Bangunan MBDK.
“Tindakan diambil di bawah Undang-Undang Kecil (UUK) Perlesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian MPK 2007 kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen,” ujar kenyataan itu lagi.
MBDK turut memberi amaran tegas kepada semua pengusaha premis perniagaan supaya mematuhi syarat pelesenan dan undang-undang sedia ada atau berdepan tindakan tegas.
“MBDK akan terus memperhebatkan operasi seumpama ini dari semasa ke semasa bagi membendung kegiatan perniagaan tanpa lesen,” tambahnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

