PET30: Langkah strategi tranformasi ekonomi Pahang

KUANTAN - Pelan Induk Ekonomi Negeri Pahang 2025–2030 (PET30) satu langkah strategik bagi menyusun semula landskap ekonomi negeri secara lebih mampan, inklusif dan berpaksikan rakyat.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, PET30 bukan sekadar pelan pembangunan tetapi satu pelan transformasi menyeluruh berasaskan kepada kekuatan sumber negeri, realiti semasa pasaran global, dan aspirasi rakyat.
Menurutnya, pelan itu dibina di atas tiga paksi utama iaitu kesejahteraan rakyat, tanggungjawab terhadap alam sekitar dan pertumbuhan ekonomi dipacu sektor swasta.
"Majlis Penasihat Ekonomi Negeri Pahang (MPEN) diketuai Tan Sri Nazir Razak memainkan peranan penting dalam membentuk hala tuju pelaksanaan PET30 ini," katanya melalui satu kenyataan di sini pada Selasa.
Terdahulu beliau hadir mengikuti Bengkel PET30 yang dianjurkan kerajaan negeri di Genting Highlands pada Selasa.
Wan Rosdy berkata, antara keutamaan PET30 merangkumi pemerkasaan industri agro-makanan, perladangan dan 'advanced materials' dan pembangunan pelancongan alam semula jadi.
"Pelan itu juga melibatkan penjanaan modal insan dan tenaga kerja berkualiti; transformasi wilayah dan pemerkasaan daerah; pemuliharaan hutan dan biodiversiti sebagai asas ekonomi hijau," ujarnya.
Sementara itu, tambah beliau, infrastruktur strategik seperti Gebeng, Taman Perindustrian Malaysia-China Kuantan (MCKIP),Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Pelabuhan Kuantan, Taman Automotif Pekan dan laluan Lingkaran Tengah Utama (LTU) akan terus dimanfaatkan sepenuhnya sebagai pemangkin pelaburan.
Jelas beliau, ekonomi hijau turut diberi keutamaan sebagai aset strategik, bukan sahaja dari sudut kelestarian ekologi tetapi juga sebagai enjin pertumbuhan baharu seperti pelaburan karbon dan ekonomi iklim.
"Bagaimanapun kejayaan PET30 tidak boleh bergantung kepada dokumen dasar semata-mata sebaliknya ia mesti diterjemah kepada tindakan nyata dengan pemantauan ketat, prestasi berasaskan Indeks Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dan sinergi rentas agensi.
"PET30 juga akan terus menekankan keadilan sosial, memastikan pembangunan seimbang antara bandar dan luar bandar termasuk kawasan FELDA, kampung Orang Asli dan komuniti pedalaman," ujar beliau.
Tambah Wan Rosdy, keutamaan diberikan kepada akses kepada air bersih, pendidikan berkualiti, perumahan selesa dan liputan digital.
"Justeru, saya menyeru kepada semua pihak untuk menjadikan tahun 2025 hingga 2030 sebagai era pelaksanaan bukan sekadar perancangan.
"Kita mesti keluar daripada zon selesa, bertindak secara tangkas dan bertanggungjawab sebagai arkitek masa depan Pahang yang lebih sejahtera," katanya.
Beliau berkata, melalui PET30, depan Negeri Pahang akan lebih makmur, lestari dan bersatu padu demi manfaat seluruh rakyat dan generasi akan datang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

