STPM 2024: 82 pelajar Pahang raih PNGK 4.0

KUANTAN - Seramai 82 calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2024 di Pahang memperoleh keputusan cemerlang dengan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.0.
Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Perancangan dan Pengurusan, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Negeri Pahang, Shahrum Md Saud berkata, keputusan itu bagaimanapun menunjukkan penurunan berbanding 106 calon pada STPM 2023.
Menurutnya, walaupun berlaku penurunan, jumlah calon yang memperoleh PNGK 4.0 masih lagi menunjukkan angka yang besar berbanding beberapa tahun sebelumnya.
“Sebanyak 36 sekolah bantuan penuh kerajaan dan dua kolej Tingkatan Enam mendaftarkan calon untuk peperiksaan STPM 2024.
“Daripada jumlah itu, 34 sekolah mencapai prestasi lulus penuh 100 peratus dan empat sekolah lagi mencapai kelulusan penuh melebihi 97 peratus,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Pengumuman Keputusan STPM 2024 Negeri Pahang secara dalam talian dari Hotel Pearl, Kuala Lumpur pada Selasa.
Shahrum berkata, secara keseluruhannya, peratus lulus penuh pusat Tingkatan Enam di negeri ini meningkat daripada 85 peratus tahun lalu kepada 89.47 peratus tahun ini.
“Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jerantut dengan 55 orang calon menduduki peperiksaan itu muncul sebagai pusat Tingkatan Enam terbaik dalam STPM 2024 peringkat negeri Pahang dengan memperoleh Gred Purata Sekolah (GPS) 3.56, diikuti oleh SMK LKTP Tersang, Raub dengan memperoleh GPS 3.43.
“Seterusnya, SMK Sulaiman, Bentong dan SMK Seri Jengka, Maran dengan GPS 3.40; SMK LKTP Chini, Pekan (GPS 3.35); SMK Dong, Raub (GPS 3.33); SMK Tanjung Gemok, Rompin (GPS 3.29); SMK Sultan Abu Bakar, Kuantan (GPS 3.27); SMKA Tengku Ampuan Hajjah Afzan Pahang, Jerantut (GPS 3.25); dan SMK Jengka Pusat, Maran (GPS 3.23),” jelasnya.
Sementara itu, beliau berkata, lebih membanggakan apabila dua calon dari negeri ini, Liew Exuan dari SMK Sultan Abu Bakar, Kuantan menerima Anugerah Murid Terbaik Kebangsaan bagi kategori Terbaik STPM Aliran Sains.
“Anugerah Murid Orang Asli Terbaik Kebangsaan disandang Roziana Tan Beng dari SMK Tanjung Gemok, Rompin.
“Pusat Tingkatan Enam SMK Jerantut terpilih sebagai pusat terbaik keseluruhan kebangsaan manakala SMK Sulaiman, Bentong pula terpilih sebagai pusat Tingkatan Enam terbaik kebangsaan dalam kategori Mod 2 dan Mod 3,” katanya.
Sementara itu, katanya, SMK Sultan Abu Bakar, Kuantan muncul sebagai pusat Tingkatan Enam yang menghasilkan paling ramai calon PNGK 4.0 dengan 10 calon.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

