Pahang siap siaga bawa pulang pelajar di Jordan

Wan Rosdy (tengah) bersama Pengerusi JPKK melibatkan lapan daerah pada Majlis Amanat dan Penyampaian Watikah Pelantikan Pengerusi JPKK Negeri Pahang di sebuah hotel di Genting Highlands pada Selasa.
Wan Rosdy (tengah) bersama Pengerusi JPKK melibatkan lapan daerah pada Majlis Amanat dan Penyampaian Watikah Pelantikan Pengerusi JPKK Negeri Pahang di sebuah hotel di Genting Highlands pada Selasa.
A
A
A

BENTONG – [DIKEMAS KINI] Kerajaan negeri bersedia mengambil langkah sewajarnya termasuk membawa pulang pelajar Pahang khususnya di Jordan, sekiranya keadaan di Asia Barat semakin mendesak susulan konflik antara Iran dan Israel yang sedang berlaku.

Setakat ini, terdapat seramai 232 anak Pahang yang sedang menuntut di universiti sekitar Jordan.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerajaan sentiasa memantau perkembangan terkini menerusi laporan rasmi Kementerian Luar Negeri dan Wisma Putra, selain mendapatkan nasihat daripada pihak Kedutaan Malaysia di Jordan.

“Namun begitu, sekiranya keadaan menjadi mendesak, saya percaya Kementerian Luar akan mengambil tindakan yang sewajarnya termasuk pelan kecemasan yang telah disediakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Amanat dan Penyampaian Watikah Pelantikan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Negeri Pahang melibatkan 382 individu dari lapan daerah, di sebuah hotel di Genting Highlands di sini pada Selasa.

Sebelum ini, tiga daerah iaitu Temerloh, Bera dan Jerantut telah melaksanakan majlis sama.

Ujar beliau lagi, kerajaan negeri sentiasa bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan dan akan bertindak segera demi keselamatan rakyat di luar negara.

Dalam pada itu, Wan Rosdy memaklumkan bahawa seramai 603 Pengerusi JPKK di seluruh Pahang menerima bantuan khas berjumlah RM500 seorang bagi tujuan pengurusan dan pentadbiran kampung.

“Bantuan itu akan disusuli dengan tambahan RM500 lagi dalam tempoh 10 hari akan datang bagi memastikan mereka dapat melaksanakan tugas dengan lebih berkesan.

Artikel Berkaitan:

“Saya telah amanatkan kepada semua JPKK supaya menjalankan tugas dengan baik, menjadi mata dan telinga kerajaan di peringkat kampung, serta menjadi jambatan penghubung antara rakyat dan kerajaan.

“Kalau ada masalah di kampung, kena sampaikan kepada Tok Penghulu supaya perkara itu boleh dibawa kepada pihak atasan untuk tindakan. Ada masalah boleh selesai segera, ada yang mungkin ambil sedikit masa,” katanya lagi.

Beliau turut mengingatkan agar semua JPKK menjalankan tugas dengan adil tanpa pilih kasih dan tidak mengamalkan kronisme.

Dalam perkembangan berkaitan, Wan Rosdy turut memaklumkan bahawa kerajaan negeri memperuntukkan RM1 juta menerusi Inisiatif Makmur Pahang (IM Pahang) kepada Pengerusi JPKK, JPKK Orang Asli, Tok Batin dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR) di seluruh negeri.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!