Pemergian guru wanita: Pentingnya naik taraf sistem sokongan kesihatan

BERITA mengenai pemergian seorang guru wanita di kediamannya di Taman Satelit, Bahau, membuka mata masyarakat terhadap realiti kehidupan individu yang menghidap penyakit kronik, termasuk dalam kalangan warga pendidik.
Media melaporkan makluman sumber bahawa guru berusia 55 tahun itu dikatakan tidak hadir ke sekolah seperti kebiasaan, selain pihak sekolah juga gagal menghubunginya.
Menurutnya, situasi tersebut menyebabkan Penolong Kanan sekolah berkenaan bertindak pergi sendiri ke rumah guru berkenaan untuk membuat pemeriksaan.
Difahamkan, mangsa mempunyai rekod penyakit jantung dan pernah menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Norhisham Mustapar, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian tersebut.
Dalam kes ini, kematian mengejut seorang guru yang mempunyai sejarah penyakit jantung menunjukkan betapa pentingnya aspek penjagaan kesihatan jangka panjang, terutama apabila melibatkan penyakit yang berisiko tinggi seperti serangan jantung.
Faktor penyumbang kepada penyakit jantung termasuk tekanan kerja yang tinggi, gaya hidup sedentari, tabiat pemakanan yang tidak sihat serta kurangnya aktiviti fizikal.
Dalam kes berkenaan, tindakan pihak sekolah yang pantas bertindak selepas mendapati guru itu tidak hadir ke sekolah menunjukkan keprihatinan institusi terhadap warga kerja mereka.
Namun, hal tersebut juga menimbulkan persoalan sejauh mana sistem sokongan kesihatan dan pemantauan kesejahteraan disediakan kepada guru yang diketahui mempunyai penyakit kronik.
Adakah terdapat mekanisme pemantauan berkala atau sistem amaran awal yang boleh membantu mengenal pasti tahap kesihatan guru sebelum sesuatu yang lebih buruk berlaku?
Usaha pencegahan sepatutnya bermula lebih awal. Institusi pendidikan, bersama pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), boleh mempertimbangkan untuk mengadakan pemeriksaan kesihatan berkala kepada semua guru, khususnya mereka yang berusia 45 tahun ke atas atau yang diketahui mempunyai sejarah penyakit kronik.
Selain itu, mewujudkan sistem sokongan psikososial juga penting bagi membantu guru mengurus tekanan kerja dengan lebih baik.
Dari sudut komuniti pula, kejiranan dan hubungan sesama rakan sekerja turut memainkan peranan penting.
Kejadian yang berlaku ini perlu menjadi iktibar kepada semua pihak. Selain bergantung kepada rawatan apabila sakit, pendekatan melabur dalam pencegahan dan gaya hidup sihat juga perlu dilakukan oleh masyarakat sejak awal lagi.
Institusi, individu dan masyarakat perlu berganding bahu dalam membina sistem yang menyokong kesejahteraan, khususnya untuk golongan berisiko seperti warga emas dan mereka yang berpenyakit kronik.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

