GrowBiz berjaya bimbing 160 usahawan mikro naik taraf perniagaan

SHAH ALAM - Seramai 160 usahawan mikro dan kecil telah dibimbing untuk menaik taraf dan meningkatkan daya saing mereka menerusi penyertaan dalam Program GrowBiz.
Majlis Graduasi Program GrowBiz 2024/2025 telah disempurnakan oleh Ketua Setiausaha, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Sri Khairul Dzaimee Daud, yang mewakili Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, dalam satu majlis, di Kuala Lumpur, semalam.
GrowBiz merupakan inisiatif di bawah Program Pembangunan Perniagaan Usahawan Mikro (BizME) yang dilaksanakan oleh SME Corp. Malaysia, agensi di bawah KUSKOP.
Program ini memberi bimbingan kepada usahawan dalam menaik taraf perniagaan mereka daripada perniagaan bersaiz mikro kepada kecil serta meningkatkan pengetahuan, kecekapan dan produktiviti perniagaan. Ia telah diperkenalkan pada tahun 2021/2022 dan graduan kali ini merupakan kumpulan ketiga dalam pelaksanaan Program GrowBiz.
Khairul Dzaimee berkata, peserta di bawah Program GrowBiz 2024/2025 bakal menjadi sebahagian usahawan yang akan dibimbing untuk dinaik taraf saiznya sejajar dengan hasrat KUSKOP dan Agensi memberikan tumpuan terhadap penskalaan PMKS khususnya bagi meningkatkan perusahaan bersaiz sederhana kepada lima peratus berbanding 1.8 peratus ketika ini.
“Peserta terbaik di bawah Program GrowBiz ini akan dijemput untuk menerima sijil daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam program yang akan diadakan di Tawau, Sabah pada bulan Mei 2025,”katanya dalam ucapan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp Malaysia, Rizal Nainy, sebanyak 152 peserta Program GrowBiz menunjukkan peningkatan jualan sehingga ada yang berjaya mencecah kenaikan 291 peratus.
“Selain itu, 63 peratus peserta telah berjaya menaik taraf perniagaan daripada mikro kepada kecil manakala 65 peratus peserta menambah bilangan pekerja yang berjaya mewujudkan 281 pekerjaan baharu.
“Terdapat juga beberapa peserta yang berjaya mengeksport ke United Kingdom, Switzerland, Brunei, Dubai, China, Bangladesh, Vietnam, Ireland, Qatar, Thailand dan Singapura,”katanya.
GrowBiz menggunakan pendekatan bimbingan khusus (hand-holding) ke atas perusahaan mikro yang merangkumi elemen latihan, tunjuk ajar (coaching) dan pemantauan bagi membimbing perusahaan mikro meningkatkan perniagaan ke tahap seterusnya.
GrowBiz kali ini yang dilaksanakan oleh dua Rakan Pelaksana iaitu AverNoble Sdn. Bhd. untuk peserta dari Semenanjung Malaysia dan Celebrate TV Sdn. Bhd. untuk peserta dari Sabah dan Sarawak turut disokong oleh Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF) dan Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC) sebagai Rakan Strategik.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif AverNoble Sdn. Bhd, Anusia Ramasamy, dan Ketua Pegawai Eksekutif Celebrate TV Sdn. Bhd, Nazura Zahian binti Rahime,
Untuk maklumat lanjut mengenai Program GrowBiz, sila layari laman sesawang, www.smecorp.gov.my.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
