'Sampai hati guna gambar anak saya minta sumbangan'

Mohd Bukhari meminta orang ramai berhati-hati
Mohd Bukhari meminta orang ramai berhati-hati
A
A
A

NILAI – Sampai hati ambil kesempatan gunakan kesakitan anak saya minta sumbangan untuk keuntungan sendiri, luah Mohd Bukhari Zainal Annuar, 34, yang kesal apabila gambar anaknya, Muhammad Fawwaz Adli, 6, yang kini terlantar akibat dihempap peti sejuk pada 12 Julai tahun lalu dipergunakan.

Menurutnya, dia pernah membuat laporan polis pada Januari lalu berkenaan individu di Facebook yang menggunakan gambar anaknya tanpa kebenaran untuk meminta sumbangan disalurkan ke akaun yang tidak dikenali, namun kali ini perkara sama berulang.

“Dulu dia guna nama akaun Facebook lain dan kali ini dia guna nama lain pula. Saya percaya ia orang yang sama kerana nombor akaun bank yang disertakan masih guna nama individu sama iaitu Taufik Abdullah.

“Taktik digunakan individu itu bagi meraih simpati orang ramai ialah dengan menulis ayat simpati dan disertakan dengan gambar-gambar anak saya dalam keadaan sakit dipercayai dicuri dari akaun Facebook saya,” katanya kepada Sinar Harian.

Keadaan Muhammad Fawwaz terkini.
Keadaan Muhammad Fawwaz terkini.

Sehubungan itu, Mohd Bukhari meminta orang ramai yang berhasrat menghulurkan sumbangan supaya berhati-hati dan jika inginkan kepastian boleh menghubunginya.

“Saya bersyukur ramai yang simpati dengan keadaan Muhammad Fawwaz mahu hulurkan sumbangan, tapi sedihnya duit itu disalurkan kepada si penipu.

“Jika sesiapa yang prihatin mahu beri sumbangan, pastikan nama nombor akaun bank diberi adalah nama saya. Saya tidak pernah melantik atau gunakan nombor akaun sesiapa untuk minta bantuan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu ditanya berkenaan keadaan Muhammad Fawwaz, Mohd Bukhari berkata, selepas 12 kali menjalani pembedahan di Hospital Tuanku Jaafar di Seremban, keadaan anaknya semakin stabil.

Bagaimanapun katanya, anak sulungnya itu masih belum dapat bercakap, tiada sebarang respon dan hanya terbaring.

“Cuma dia tidak lagi merengek seperti sebelum ini. Rutin kami sekarang adalah ulang-alik ke hospital dua minggu sekali dan pada sama sama saya juga ikhtiar buat rawatan alternatif.

“Waktu saya dan isteri sepenuhnya untuk uruskan Muhammad Fawwaz. Selagi kami boleh ikhtiar kami buat dan tidak akan berputus asa,” katanya.

Disebabkan sibuk menguruskan Muhammad Fawwaz, Mohd Bukhari yang mencari rezeki dengan berniaga kini terputus sumber pendapatan.

“Lagipun dalam keadaan sekarang dengan wabak penyakit ini nak dapat pelanggan pun susah, orang tak ramai lagi membeli seperti dulu,” katanya.