[VIDEO] Himpunan Gempur Rasuah 2.0, polis buka tiga kertas siasatan

A
A
A

KOTA KINABALU – Polis Sabah telah membuka tiga kertas siasatan melibatkan sembilan kesalahan berkaitan Perhimpunan Gempur Rasuah 2.0 yang diadakan selama dua hari di pusat bandar raya Kota Kinabalu pada Sabtu dan Ahad lalu.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun memaklumkan bahawa setakat ini pihaknya telah menerima enam laporan polis berkaitan perhimpunan tersebut.

“Contoh kesalahan yang dikenal pasti termasuk menghasut, membuat pembakaran di tempat awam, membawa bahan kakisan atau berbahaya seperti minyak dalam perhimpunan, serta menyentuh isu 3R (agama, kaum dan institusi diraja).

“Kami akan menggunakan peruntukan undang-undang sedia ada, terutama sekali Kanun Keseksaan dan Akta Hasutan, sebagai asas utama siasatan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di sini pada Isnin.

Beliau turut menjelaskan bahawa polis tidak memberikan kelulusan untuk perhimpunan itu, sebaliknya pelaksanaannya tertakluk di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.

Katanya, akta berkenaan bertujuan menyelaras, menyelenggara dan memudahcara perhimpunan awam, dan pihak penganjur perlu mengemukakan pemberitahuan kepada polis sekurang-kurangnya lima hari sebelum tarikh perhimpunan.

Jauteh dalam sidang akhbar di IPK Sabah.
Jauteh dalam sidang akhbar di IPK Sabah.

“Pihak penganjur perlu mengemukakan butiran seperti nama pemohon, laluan perhimpunan dan tujuan perhimpunan supaya pihak polis dapat meneliti dan memberi maklum balas. Dalam kes ini, PDRM telah mengeluarkan maklum balas dengan menetapkan 15 syarat untuk dipatuhi pihak penganjur.

Artikel Berkaitan:

“Namun, ini bukan kelulusan mutlak. Tiada kelulusan dikeluarkan, sebaliknya ia adalah maklum balas atas pemberitahuan. Malangnya, pihak penganjur gagal memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan,” jelasnya.

Menurut Jauteh, pihak pelajar atau penganjur seharusnya memahami isi kandungan dan kewajipan di bawah Akta Perhimpunan Aman sebelum bertindak mengadakan perhimpunan.

Mengulas mengenai perkembangan siasatan, beliau mengesahkan beberapa individu telah dipanggil untuk memberi keterangan, namun maklumat terperinci tidak dapat didedahkan buat masa ini bagi menjaga integriti siasatan.

“PDRM turut menyiasat satu dakwaan berkenaan kenderaan yang disimbah asid dan siasatan dibuat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan. Kes ini termasuk dalam enam laporan polis yang diterima.

“Siasatan ketika ini menjurus kepada kumpulan yang menggelar diri mereka ‘Suara Mahasiswa’, dan kami sedang menyemak laporan-laporan berkaitan pelanggaran undang-undang, bukan semata-mata terhadap perhimpunan itu sendiri,” katanya.

Jauteh turut menasihatkan para pelajar agar menyuarakan bantahan melalui saluran yang sah seperti mengemukakan surat atau mengadakan pertemuan secara berkumpulan dengan pihak berwajib.

“Mereka boleh berjumpa dengan pihak berkaitan dan menyatakan hasrat mereka serta memanggil media untuk menyampaikan mesej, berbanding melakukan tindakan yang boleh melanggar undang-undang,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!