Lima kilang musnah, 13 kenderaan hangus dalam kebakaran di Masai

Sebanyak lima lori tangki, tiga kenderaan persendirian dan lima motosikal dilaporkan musnah dalam kejadian itu.
Sebanyak lima lori tangki, tiga kenderaan persendirian dan lima motosikal dilaporkan musnah dalam kejadian itu.
A
A
A

JOHOR BAHRU – Tiga kilang musnah sepenuhnya, manakala dua lagi hampir musnah keseluruhan serta sekurang-kurangnya 13 kenderaan hangus dalam satu kebakaran besar di kawasan industri kecil seluas 1,000 meter persegi di Taman Megah Ria, Masai, di sini tengah hari Sabtu.

Menurut Komander Operasi Kanan merangkap Timbalan Ketua Zon 1, Penguasa Kanan Bomba Rosfarawadi Ismani Ismail, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kebakaran berkenaan kira-kira jam 12.54 tengah hari.

Rosfarawadi
Rosfarawadi

Katanya, sebaik menerima maklumat, jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tebrau dan Pasir Gudang dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba, api sudah marak. Kami segera memohon bantuan tambahan daripada lima balai bomba lain, melibatkan BBP Johor Jaya, Kota Tinggi, Larkin serta Pasukan Bomba Sukarela (PBS) dari Mount Austin dan Ulu Tiram dengan kekuatan seramai 36 anggota.

“Kebakaran melibatkan kawasan seluas 1,000 meter persegi yang dipercayai disewa oleh lima pemilik berbeza. Antara yang terlibat dalam kebakaran ialah tapak parkir lori, tempat simpanan bahan kitar semula termasuk minyak hitam, bahan kimia untuk sabun, serta sebuah pusat mencuci kenderaan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Kebakaran yang berlaku di kawasan industri kecil seluas 1,000 meter persegi di Taman Megah Ria pada Sabtu.
Kebakaran yang berlaku di kawasan industri kecil seluas 1,000 meter persegi di Taman Megah Ria pada Sabtu.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, tiada mangsa dilaporkan terlibat kerana kawasan berkenaan hanya digunakan sebagai tapak operasi dan tempat meletak lori oleh pekerja yang tidak berada di lokasi semasa kejadian.

Bagaimanapun, katanya, penduduk sekitar telah diarahkan mengosongkan kawasan berhampiran sebagai langkah berjaga-jaga memandangkan api marak berdekatan kawasan perumahan.

“Tindakan ini diambil bagi memastikan keselamatan penduduk dan memberikan ruang kepada pasukan penyelamat menjalankan kerja-kerja pemadaman dengan lebih berkesan,” ujarnya.

Difahamkan setakat ini, sebanyak lima lori tangki, tiga kenderaan persendirian dan lima motosikal dilaporkan musnah dalam kejadian itu, yang dipercayai berpunca dari kawasan simpanan minyak kitar semula.

Punca sebenar kebakaran masih dalam siasatan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!