10 individu diberkas kes tipu pelaburan

SERDANG – Seramai 10 individu termasuk tiga wanita ditahan kerana disyaki terlibat dengan sindiket penipuan pelaburan saham mata wang asing di Bandar Puteri, Puchong, di sini pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Muhamad Farid Ahmad berkata, pihaknya telah melaksanakan serbuan di sebuah premis pada jam 2.30 petang.
“Kita menahan kesemua suspek berusia antara 30 hingga 40 tahun termasuk dalang utama sindiket tersebut.
“Setakat ini, empat kes pelaburan tidak wujud sedang dalam siasatan pihak polis melibatkan kerugian hampir RM400,000,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang, di sini pada Isnin.
Muhamad Farid berkata, pelbagai barangan bernilai RM45,000 telah dirampas termasuk enam komputer riba, 14 telefon bimbit, satu modem dan tiga monitor.
“Siasatan awal mendapati sindiket berkenaan telah beroperasi sejak enam bulan lalu dan menyasarkan warga tempatan, Indonesia dan India sebagai mangsa,” katanya.
Tambah beliau, semakan ke atas semua suspek mendapati tiada sebarang rekod jenayah lampau atau berkaitan dadah, dan hasil ujian saringan awal air kencing juga menunjukkan keputusan negatif.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum satu tahun dan maksimum 10 tahun serta sebatan dan denda jika sabit kesalahan,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya turut menjalankan siasatan di bawah Seksyen 137(1) Akta Perkhidmatan Kewangan.
Pada masa sama, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan sebarang tawaran pelaburan mencurigakan, dan dinasihatkan menyemak terlebih dahulu dengan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia bagi memastikan kesahihan sesebuah syarikat atau platform pelaburan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!