Revolusi senyap di ceruk kampung

Sri tanjung kini menjadi wilayah Agrobank dalam meningkatkan ekonomi penduduk setempat.
Sri tanjung kini menjadi wilayah Agrobank dalam meningkatkan ekonomi penduduk setempat.
A
A
A

MUNGKIN ramai tidak tahu, di sebalik landskap hijau dan tenang kawasan pedalaman Kelantan, tersembunyi sebuah revolusi digital yang sedang rancak berkembang.

Selamat datang ke Sri Tanjung, sebuah perkampungan nelayan di Tumpat yang kini berubah wajah menjadi destinasi ekopelancongan terkemuka di Pantai Timur.

Perjalanan ke sini memerlukan sedikit usaha, dari Kota Bharu menaiki bot selama 15 hingga 20 minit dari Jeti Kuala Besar.

Antara tarikan utamanya ialah Pasar Terapung di Teluk Renjuna yang mula beroperasi sejak 2022.

Pasar terapung Sri Tanjund sentiasa dipenuhi orang ramai setiap Jumaat dan Sabtu.
Pasar terapung Sri Tanjund sentiasa dipenuhi orang ramai setiap Jumaat dan Sabtu.

Dibuka setiap Jumaat dan Sabtu, menerima sehingga 2,000 pengunjung sehari yang datang menikmati suasana unik sambil membeli makanan serta minuman dijual penduduk kampung.

Tapi jangan terkejut, walaupun suasana kampung tradisional seperti filem klasik zaman dahulu, urus niaga di sini jauh daripada sistem kuno. Setiap gerai dilengkapi kod QR, membolehkan orang ramai, khususnya pelancong membayar secara tanpa tunai. Ia bukan lagi angan-angan digital, ini realiti luar bandar hari ini.

Artikel Berkaitan:

Kedudukan Sri Tanjung yang terpencil namun sudah jauh ke hadapan dalam penggunaan digital.
Kedudukan Sri Tanjung yang terpencil namun sudah jauh ke hadapan dalam penggunaan digital.

Inisiatif hebat itu dipacu oleh Agrobank yang menjadi peneraju dalam membawa transformasi digital ke kawasan luar bandar.

Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin, penggunaan DuitNow QR Agrobank adalah sebahagian agenda nasional e-Duit Desa yang digerakkan Bank Negara Malaysia.

“Di Malaysia, terdapat kira-kira 230,000 pesawah dan 86,000 nelayan, majoritinya tinggal di luar bandar.

Kita mahu mereka tahu bahawa transaksi digital ini lebih cepat, mudah dan selamat,” katanya kepada Sinar Harian selepas merasmikan Wilayah Agrobank Pulau Sri Tanjung, Tumpat baru-baru ini yang turut dihadiri Pengerusi Agrobank, Datuk Yunos Abd Ghani.

PERKASA KESEDARAN DIGITAL

Untuk tempoh tiga tahun akan datang, Tengku Ahmad Badli Shah berkata, Agrobank memperuntukkan RM18 juta demi memperkasakan infrastruktur dan kesedaran digital dalam kalangan pelanggannya.

Tambah beliau, hasilnya sudah mulai kelihatan apabila sejak tiga tahun lalu, penggunaan perkhidmatan digital pelanggan meningkat lebih 200 peratus.

Peniaga pasar terapung kini semakin mahir dalam penggunaan kod QR.
Peniaga pasar terapung kini semakin mahir dalam penggunaan kod QR.

Namun begitu, katanya, cabaran tetap ada kerana sekitar 10 hingga 20 peratus daripada kumpulan sasar kebanyakannya pesawah dan nelayan masih belum celik digital terutama warga emas yang lebih selesa dengan urusan secara fizikal.

“Ada yang tidak tahu guna mesin ATM, apatah lagi kod QR. Jadi, peranan kita membantu, beri tunjuk ajar dan yakinkan mereka. Sasaran kita, dalam tempoh tiga tahun, 40 peratus pengguna kaedah lama akan beralih ke digital,” katanya.

Agrobank turut berdepan cabaran dari segi liputan internet, namun menurut beliau, keadaan semakin baik di Semenanjung, manakala untuk kawasan lebih terpencil di Sabah dan Sarawak, Agrobank mengambil langkah susulan.

“Antaranya memasang lapan unit Starlink, internet satelit berkelajuan tinggi menggunakan rangkaian satelit orbit rendah.

“Pada masa sama, Agrobank juga tidak pandang ringan soal keselamatan. Sistem perbankan kita dikawal selia menerusi pelaksanaan Pengurusan Risiko Teknologi (RMiT) setiap tiga hingga enam bulan.

“Kita nilai semua bentuk risiko, dalaman dan luaran. Sistem akan dipantau rapi supaya akaun pelanggan sentiasa dilindungi daripada jenayah siber,” tegas beliau.

Dari luar, kawasan terpencil seperti Pulau Sri Tanjung mungkin kelihatan seperti kampung biasa tetapi di sebalik tenangnya air dan mesranya penduduk, tersimpan kisah transformasi digital luar biasa — satu revolusi senyap yang sedang mengubah landskap luar bandar Malaysia.

***

REAKSI

“Penggunaan kod QR bukan saja memudahkan bayaran, tetapi peniaga dapat tengok rekod transaksi keluar masuk duit dengan lebih tepat.”

- Ahmad Fathil Othman, 51, peniaga kraf tangan batik

“Mula-mula susah nak faham cara digital ini tapi sekarang tak serabut lagi nak fikirkan urusan jual beli terutama masalah pertukaran duit kecil.”

- Zainab Mamat, 65, peniaga makanan dan minuman

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!