Dadah, ketum catat kes salah laku tertinggi libatkan polis Kelantan

Mohd Yusoff (tengah) memakaikan pangkat kepada pegawai pada Majlis Perhimpunan Bulanan IPK.
Mohd Yusoff (tengah) memakaikan pangkat kepada pegawai pada Majlis Perhimpunan Bulanan IPK.
A
A
A

KOTA BHARU – Salah laku paling banyak dikesan membabitkan anggota polis di Kelantan ialah berkaitan penggunaan dadah dan ketum, menurut Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat.

Beliau menegaskan bahawa mana-mana pegawai atau anggota yang didapati terlibat dalam salah laku akan dikenakan tindakan tegas tanpa kompromi, selaras dengan prinsip keadilan dan ketelusan jabatan.

"Tiada sebarang toleransi terhadap salah laku dan isu integriti membabitkan anggota dan pegawai Polis Kelantan," katanya.

Menurut beliau, bagi tempoh Januari hingga Mei tahun ini, jumlah Kertas Enkuiri Tatatertib (KET) menunjukkan peningkatan ketara, dengan 11 kes direkodkan berbanding hanya satu kes dalam tempoh sama tahun lalu.

"Trend ini amat membimbangkan dan perlu diberi perhatian serius oleh semua pihak," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan pada Rabu.

Selain itu, Kertas Siasatan Tatatertib (KST) turut mencatatkan lonjakan kes, iaitu 30 kes direkodkan tahun ini berbanding 18 kes dalam tempoh sama tahun lalu.

Mohd Yusoff berkata, pihaknya sentiasa menekankan pematuhan terhadap arahan dan prosedur operasi standard (SOP) dalam kalangan pegawai serta anggota polis.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut mengingatkan semua pegawai dan anggota agar mematuhi sepenuhnya arahan berkaitan penggunaan senjata api.

Katanya, kesemua yang terlibat perlu memenuhi kriteria kelayakan yang telah ditetapkan.

Artikel Berkaitan:

"Mereka perlu melalui penilaian aspek psikologi secara berkala termasuk perakuan sihat dari segi fizikal dan mental serta tidak mengalami tekanan melampau," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!