Harga minyak melambung selepas serangan AS ke atas Iran

WASHINGTON – Harga niaga hadapan minyak melonjak pada lewat Ahad susulan reaksi pertama pasaran Wall Street terhadap serangan udara Amerika Syarikat (AS) ke atas tiga tapak nuklear Iran pada malam Sabtu, sekali gus mencetuskan peningkatan ketegangan dalam konflik Iran-Israel.
Niaga hadapan minyak mentah AS naik 3.6 peratus kepada kira-kira AS$76.47 setong, manakala penanda aras global, Brent, meningkat 3.2 peratus kepada AS$74.59 setong.
Sebaliknya, pasaran saham AS menunjukkan penyusutan, dengan niaga hadapan Dow Jones susut 250 mata atau 0.6 peratus. Niaga hadapan S&P 500 dan Nasdaq masing-masing jatuh 0.6 peratus dan 0.7 peratus.
Dalam masa yang sama, nilai dolar AS meningkat 0.3 peratus, satu petanda positif selepas mata wang itu sebelum ini menyusut susulan pelaksanaan tarif import oleh pentadbiran Trump. Dolar, yang sering dianggap sebagai mata wang rizab dunia, lazimnya mengukuh dalam situasi ketidaktentuan global, namun penganalisis pasaran mempersoalkan sama ada corak itu akan berulang di bawah dasar ‘America First’ Trump.
Saham-saham di Israel pula mencatatkan lonjakan rekod pada Ahad apabila pelabur percaya serangan tersebut dapat mengurangkan ancaman nuklear daripada Iran.
Indeks Tel Aviv 125 meningkat 1.8 peratus kepada 2,919.62, manakala indeks utama TA-35 naik 1.5 peratus dan ditutup pada paras tertinggi sepanjang masa iaitu 2,877.78.
AS kini menghasilkan purata kira-kira 13.4 juta tong minyak sehari. Sejak awal Januari, simpanan minyak mentah telah meningkat lebih 200 juta tong, dan OPEC+ turut mengumumkan rancangan untuk menambah pengeluaran.
Namun, timbul kebimbangan bahawa Iran mungkin bertindak menutup Selat Hormuz atau menyekat aliran minyak dan perdagangan di rantau tersebut.
Penganalisis ekonomi memberi amaran bahawa sebarang tindakan balas daripada Iran boleh menjejaskan bekalan minyak global yang sangat bergantung kepada laluan tersebut.
Kenaikan mendadak harga minyak juga berpotensi mencetuskan tekanan inflasi kepada ekonomi AS.
Menurut Pentadbiran Maklumat Tenaga AS (EIA), lebih 25 peratus perdagangan minyak laut global telah melalui Selat Hormuz sepanjang tahun 2024 dan suku pertama 2025.
AS mengimport kira-kira 500,000 tong sehari melalui laluan itu, merangkumi tujuh peratus daripada jumlah keseluruhan import minyak mentah dan kondensat negara tersebut. – CNN
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

