Terengganu pertimbang wajibkan pemasangan kod QR pada ternakan

HULU TERENGGANU – Kerajaan Terengganu akan menggubal enakmen baharu bagi mewajibkan pemilik ternakan mendaftar dan memasang kod QR pada haiwan sebagai langkah mengatasi isu ternakan berkeliaran yang berlarutan sejak sekian lama.
Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi, Datuk Dr Azman Ibrahim berkata, enakmen baharu yang akan dikenali sebagai Enakmen Kawalan Ternakan Ruminan itu akan meliputi ternakan jenis lembu, kambing dan kerbau.
Menurutnya, pelaksanaan sistem tersebut akan memudahkan pihak berkuasa mengesan pemilik haiwan, sekali gus dapat mengatasi masalah haiwan tanpa kawalan yang sering mengundang risiko kemalangan serta memusnahkan tanaman penduduk.

“Haiwan ternakan yang dibiarkan berkeliaran tanpa tuan ini ibarat kenderaan di atas jalan raya yang tiada pemilik, tidak ada nombor plat atau tidak berdaftar.
“Dengan pendaftaran dan tag (kod QR) yang sah, kita akan tahu siapa pemilik haiwan terbabit,” katanya pada sidang akhbar selepas Program Pelepasan Benih Ikan, Penyerahan Bantuan Peralatan dan Insentif Input Akuakultur serta Pelancaran Kajian Penandaan Peralatan Tangkapan Nelayan Darat di Sungai Terengganu, dekat Kampung Temir, di sini, pada Ahad.
Menurutnya, langkah itu dilihat sebagai penyelesaian jangka panjang terhadap isu haiwan ternakan berkeliaran yang sering membahayakan pengguna jalan raya.
“Masalah ini bukan baharu. Sudah wujud sejak sekian lama. Jika kita masih berlembut, mungkin 10 hingga 20 tahun akan datang pun belum tentu selesai. Kini sudah tiba masanya untuk kita lebih bertegas dalam hal ini,” katanya.
Jelas beliau, di bawah enakmen yang dicadangkan itu, haiwan yang tidak berdaftar atau tidak memiliki tag kod QR boleh disita atau dilelong oleh pihak berkuasa.
“Undang-undang kecil pihak berkuasa tempatan (PBT) sedia ada hanya membenarkan penangkapan haiwan berkeliaran, namun kuasa lebih besar perlu diwujudkan untuk mengawal selia sektor penternakan secara menyeluruh,” jelasnya.
Beliau berkata, pemasangan kod QR terhadap haiwan ternakan telah dikuatkuasakan di Melaka dan terbukti berkesan dalam mengawal pergerakan haiwan.
“Kerajaan negeri kini sedang mengkaji daripada segenap aspek bagi membolehkan pelaksanaan enakmen ini, yang perlu digubal terlebih dahulu di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) sebelum melalui proses pelaksanaan.
“Cadangan ini juga masih di peringkat awal dan akan dikemukakan secara rasmi selepas melalui semua perbincangan serta saluran undang-undang yang sewajarnya,” katanya.
Terdahulu, Azman menyempurnakan program pelepasan 33,000 benih ikan yang terdiri daripada udang galah, lampam sungai dan baung sungai bernilai RM9,500 di Sungai Terengganu.
Hadir sama, Pengarah Perikanan Negeri Terengganu, Pang Nyukang dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemong, Mohd Zawawi Ismail.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
