'Memang sedih, nak bangkit semula ambil masa'

Razak (kiri) ketika mendengar pengalaman yang dihadapi Zainudin.
Razak (kiri) ketika mendengar pengalaman yang dihadapi Zainudin.
A
A
A

JERANTUT - Seorang tukang baiki barangan elektrik di Felda Sungai Retang di sini mengalami kerugian kira-kira RM30,000 selepas barangan milik pelanggan musnah akibat kebakaran baru-baru ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.50 pagi itu, rumah sewa yang didiami Zainudin Md Radzi, 37 bersama isterinya,Mastiqa Noraziramani,33 serta tiga anak berusia 6,8 dan 11 tahun musnah bersama 30 ketuhar gelombang mikro, 15 mesin basuh dan 11 peti ais yang gagal diselamatkan.

Menurutnya, ketika kejadian dia dan ahli keluarganya berada di rumah mentua di rancangan sama sebelum menerima panggilan telefon mengenai kebakaran terbabit.

"Ada jiran terdengar bunyi macam mercun dan ingatkan anak yang main namun kebetulan pada hari kejadian rumah tiada penghuni.

"Semua barangan rumah dan pelanggan pakaian dan lain-lain musnah kecuali dapat selamatkan kereta serta motosikal," katanya Sinar Harian.

Zainudin (empat dari kanan) ketika menerima sumbangan yang disampaikan Razak (dua dari kanan)
Zainudin (empat dari kanan) ketika menerima sumbangan yang disampaikan Razak (dua dari kanan)

Dia yang juga generasi kedua Felda itu ditemui ketika menerima kunjungan Pengerusi Gabungan Masjid Felda Wilayah Jengka, Razak Daud yang turut menyampaikan sumbangan gabungan masjid pada Ahad.

Hadir sama, Pengerusi Gerakan Persatuan Wanita (GPW) Gabungan Wilayah Jengka, Zariah Haron dan Pengerusi Masjid Felda Sungai Retang, Wan Zahari Wan Ibrahim.

Ujarnya, kejadian itu berpunca daripada lintar pintas dan reda dengan ujian yang dihadapi menjelang Ramadan.

Artikel Berkaitan:

"Sedih memang sedih, nak bangkit semula akan ambil masa dan syukur kerana ada terima sumbangan beberapa pihak dapat meringankan beban.

"Tahun ini, persiapan Ramadan dan raya tidak macam dulu kerana kena beri keutamaan yang penting dulu tapi saya anggap mungkin ada hikmahnya," tambahnya kerugian keseluruhan dianggarkan RM50,000.

Sementara itu, Razak berharap keluarga tersebut tabah dengan ujian dihadapi dan sumbangan yang diberikan dapat meringankan beban yang dihadapi akibat tragedi tersebut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!