Jimat banyak guna di luar waktu puncak

Penggunaan elektrik di luar waktu puncak dijangka memberi penjimatan sehingga 20 peratus. Gambar kecil: Nuradli Ridzwan Shah
Penggunaan elektrik di luar waktu puncak dijangka memberi penjimatan sehingga 20 peratus. Gambar kecil: Nuradli Ridzwan Shah
A
A
A

SHAH ALAM - Amalan penggunaan elektrik di luar waktu puncak dijangka memberi penjimatan sehingga 20 peratus kepada 23.6 juta pengguna domestik di negara ini.

Pensyarah Fakulti Ekonomi dan Muamalat Universiti Sains Islam Malaysia, Profesor Dr Nuradli Ridzwan Shah Mohd Dali berkata, perluasan skim Masa Penggunaan (TOU) boleh mendorong kepada perubahan tabiat pengguna dalam menggunakan barangan elektrik sekali gus mengurangkan perbelanjaan kos sara hidup harian mereka.

“Sebagai contoh, dari jam 2 petang hingga 10 malam, kita sedia maklum waktu tersebut orang mula balik kerja. Jadi penggunaan elektrik tentu akan banyak dalam tempoh tersebut.

“Namun jika penggunaan elektrik ketika masa bukan puncak membolehkan pengguna mendapat diskaun harga, maka ia akan mengubah tabiat mereka.

“Kesannya apabila tabiat bertukar, maka ia akan mempengaruhi kos sara hidup atau lebih tepat lagi kos kita dalam menggunakan elektrik itu dapat dikurangkan,” katanya kepada Sinar Ahad.

No Image Caption

Pada Jumaat, Suruhanjaya Tenaga (ST) mengumumkan kadar tarif elektrik yang lebih adil dan progresif bermula 1 Julai ini.

Artikel Berkaitan:

Ini termasuklah Insentif Cekap Tenaga di mana penggunaan di bawah 1,000 kWj tidak akan mengalami kenaikan tarif.

ST turut menyelaras dan memperluas pelaksanaan skim TOU yang kini merangkumi hujung minggu dan waktu luar puncak hari bekerja dari jam 10 malam hingga 2 petang keesokan harinya, membolehkan pengguna menikmati lebih penjimatan dengan mengalihkan aktiviti penggunaan tenaga tinggi ke waktu-waktu tersebut.

Ujar Nuradli Ridzwan Shah, pendekatan bekerja dari rumah juga merupakan salah satu kaedah berkesan untuk membantu syarikat komersial menjimatkan kos elektrik.

“Jika pekerja 100 peratus bekerja dari rumah, memanglah mereka terpaksa bayar seperti caj utiliti, elektrik dan pendingin hawa. Namun untuk beri situasi menang-menang, mungkin syarikat boleh laksanakan kaedah bekerja secara hibrid,” ujarnya.

Tambah beliau, kesedaran mengenai penjimatan elektrik juga perlu dilaksanakan dari peringkat sekolah, supaya generasi muda dapat memahami kepentingan penggunaan tenaga secara berhemah sejak awal lagi.

“Dengan adanya pelaksanaan TOU, kita akan nampak perubahan kelakuan pengguna. Contohnya golongan ibu mungkin akan basuh baju selepas jam 10 malam.

“Mungkin ada rakyat akan menggunakan pendingin hawa pada waktu malam. Sebab itu saya sarankan kita kena ajar masyarakat dari muda lagi macam mana cara hendak menjimatkan tenaga,” menurutnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Persekutuan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Dr. T. Saravanan berkata, pengenalan Insentif Cekap Tenaga membolehkan isi rumah yang menggunakan 1,000 kWj atau kurang setiap bulan, mengelak daripada sebarang kenaikan tarif, sekali gus memberi ganjaran kepada pengguna yang cekap tenaga dan menggalakkan penggunaan secara bertanggungjawab.

“Struktur yang dikemas kini ini turut merangkumi sistem bil yang lebih terperinci, termasuk pecahan bagi penjanaan tenaga, penggunaan rangkaian, caj kapasiti dan kos runcit.

“Tahap ketelusan ini memberi kuasa kepada pengguna untuk lebih memahami bil mereka dan memberikan kejelasan mengenai bagaimana kos tersebut ditentukan, sekali gus meningkatkan kepercayaan dan membolehkan pengguna membuat keputusan penggunaan yang lebih bijak,” katanya. 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!