Jimat bil, guna elektrik luar waktu puncak

Pengguna domestik yang mencatat penggunaan elektrik sebanyak 1,000 kilowatt-jam (kWj) dan ke bawah dijangka tidak akan terkesan dengan semakan tarif terkini.
Pengguna domestik yang mencatat penggunaan elektrik sebanyak 1,000 kilowatt-jam (kWj) dan ke bawah dijangka tidak akan terkesan dengan semakan tarif terkini.
A
A
A

SHAH ALAM – Suruhanjaya Tenaga akan memperkenalkan Insentif Cekap Tenaga sebagai langkah galakan kepada lebih 23.6 juta pengguna domestik yang mengamalkan penggunaan elektrik secara berhemah, sekali gus mengurangkan beban kos tenaga susulan pelaksanaan jadual tarif baharu.

Melalui insentif ini, pengguna domestik yang mencatat penggunaan elektrik sebanyak 1,000 kilowatt-jam (kWj) dan ke bawah dijangka tidak akan terkesan dengan semakan tarif terkini.

“Turut mendapat manfaat adalah pengguna bukan domestik voltan rendah seperti premis kecil dan perniagaan mikro yang menggunakan 200kWj dan ke bawah,” kata Suruhanjaya Tenaga dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Langkah ini dijangka menggalakkan lebih ramai pengguna untuk mengurus penggunaan tenaga dengan lebih bijak serta menyumbang ke arah pembangunan sistem tenaga negara yang lebih cekap dan mampan.

Sementara itu, bagi membantu pengguna mendapatkan bil elektrik yang lebih rendah, Suruhanjaya Tenaga turut menyelaras dan memperluaskan pelaksanaan skim Masa Penggunaan (Time of Use atau TOU) dengan melanjutkan tempoh luar waktu puncak.

“Skim Masa Penggunaan atau Time of Use (TOU) telah diselaras dan diperluas kepada tempoh luar puncak yang lebih panjang iaitu keseluruhan hari Sabtu, Ahad serta dari jam 10 malam hingga 2 petang pada hari Isnin hingga Jumaat.

“Ia bagi menggalakkan pengurusan penggunaan yang lebih cekap mengikut waktu permintaan, sejajar dengan usaha ke arah sistem tenaga yang lebih lestari.

“Sekiranya pengguna menggunakan elektrik pada waktu luar puncak, mereka dapat menjimatkan bil elektrik berbanding penggunaan pada waktu puncak,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, bagi menjamin aspek sosial dan kebajikan rakyat terus dipelihara, Suruhanjaya Tenaga memaklumkan bahawa kerajaan bersetuju untuk mengekalkan tarif spesifik bagi kategori pertanian, perkhidmatan air dan pembetungan serta operator rel (traction).

Katanya lagi, kerajaan juga bersetuju memberikan rebat kepada institusi tertentu dan kelompok rakyat berpendapatan rendah.

“Pemberian rebat sebanyak 10 peratus akan diberikan kepada institusi pengajian tinggi berdaftar, sekolah, rumah kebajikan dan rumah ibadat.

“Program Rebat Bil Elektrik RM40 turut diteruskan, iaitu bantuan bulanan sehingga maksimum RM40 yang diberikan kepada Ketua Isi Rumah (KIR) berstatus miskin tegar dan berdaftar dalam sistem e-Kasih di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM).

“Pengguna yang layak boleh membuat semakan status kelayakan masing-masing di laman sesawang https://semakanrebat.petra.gov.my/apps/public/index.php atau hadir ke kedai utiliti elektrik berhampiran,” jelas kenyataan itu.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!